Bekas Presiden Panama diekstradisi

BANDAR PANAMA, 12 Jun – Pihak berkuasa Amerika Syarikat pada Isnin telah mengekstradisi bekas Presiden Panama Ricardo Martinelli dan menghantar beliau pulang dengan penerbangan persendirian dari Miami, Florida ke Bandar Panama.

Martinelli, yang digari dan berpakaian seperti seragam penjara, mendarat di ibu kota itu pada pukul 8:40 pagi waktu tempatan sebelum diserahkan kepada para pegawai Panama.

Martinelli, yang menjadi presiden Panama dari 2009 hingga 2014, didakwa melakukan intipan telefon secara haram ke atas pesaing politiknya dalam tempoh dua tahun terakhir jawatan beliau serta dianggap telah menghina mahkamah selepas gagal menghadiri perbicaraan.

Pada Januari 2015, Martinelli ke Miami untuk mengambil bahagian dalam satu mesyuarat Parlimen Amerika Tengah (Parlacen), namun tidak lagi pulang ke Panama.

Beliau telah ditahan di sana pada 12 Jun 2017 berikutan permohonan ekstradisi oleh Panama.

Anggota-anggota Parti Perubahan Demokratik pimpinan Martinelli berhimpun di luar Lapangan Terbang Antarabangsa Tocumen kelmarin dan mengibarkan bendera parti untuk menunjukkan sokongan kepada bekas presiden itu.

Martinelli kemudian dibawa ke Penjara El Renacer. – Bernama