Bekas presiden Peru dikejarkan ke hospital

LIMA, 4 FEB – Bekas presiden Peru Alberto Fujimori yang sedang menjalani hukuman penjara dikejarkan ke hospital selepas mengalami sindrom sukar bernafas akut, lapor agensi berita Xinhua, memetik ketua doktor Alejandro Aguinaga semalam.

Fujimori “juga mempunyai masalah pemfibrilan atrium yang memerlukan penilaian lengkap,” kata Aguinaga kepada Radio Programas del Peru.

Fujimori, 81, menjalani hukuman penjara 25 tahun kerana melanggar hak asasi manusia dengan mengarahkan dua pembunuhan aktivis antikerajaan oleh skuad maut pada 1991 dan 1992.

Menurut doktornya, bekas presiden itu dimasukkan ke Klinik Centenary Peru-Jepun di daerah Jesus Maria di ibu kota Lima.

Aquinaga berkata beliau telah ‘memberitahu doktor klinik supaya mengatur untuk pakar saraf memeriksa Fujimori, yang juga akan menjalani imbasan paru-paru.

Walaupun paru-paru bekas pemimpin itu ‘tidak berfungsi dengan baik, ia masih terkawal.

Doktor penjara sedar pada malam Ahad bahawa Fujimori tidak bernafas dengan baik, maka mereka memberikannya oksigen. Sejurus selepas itu, mereka memutuskan beliau harus dipindah ke klinik.

Sumber yang rapat dengan keluarga memberitahu AFP bahawa Fujimori telah dipindahkan ke klinik disebabkan isu saraf, kelumpuhan wajah dan tekanan darah naik.

Pada 2017, beliau menerima pengampunan daripada presiden Pedro Pablo Kuczynski. Pengampunan itu kemudiannya dibatalkan oleh mahkamah menyebabkan beliau terpaksa kembali ke penjara pada awal 2019. – Bernama/AFP