MOSCOW, 6 JULAI – Bekas presiden Rusia, Dmitry Medvedev menegaskan kemungkinan berlakunya perang nuklear jika Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bertindak menghukum Moscow atas dakwaan jenayah perang di Ukraine.
“Rancangan untuk menghukum sebuah negara yang mempunyai senjata nuklear terbesar adalah tidak masuk akal,” kata rakan sejawat presiden Vladimir Putin, Medvedev, menerusi akaun Telegramnya.
“Dan berpotensi menimbulkan ancaman kepada kehidupan manusia sejagat,” tambahnya.
Medvedev, pemangku presiden Rusia pada 2008 dan 2012, kini menjadi timbalan ketua dalam majlis keselamatan Rusia.
Dia mendakwa Amerika Syarikat ingin meletakkan Moscow di muka pengadilan antarabangsa, sementara mereka sendiri tidak berdepan dengan hukuman atas peperangan mereka sendiri, menurutnya, yang telah mengakibatkan 20 juta kematian di seluruh dunia.
“Dalam sejarah Amerika Syarikat, bermula daripada penindasan orang asli Indian, ia adalah salah satu peperangan berdarah,” kata Medvedev, 56, yang dimaksudkannya dengan orang asli Amerika.
Sejak Putin mengerahkan tenteranya ke Ukraine pada 24 Februari lalu, Medvedev selalu meluahkan pendapatnya menerusi media sosial mengenai negara Barat dan negara-negara yang menentang Moscow.
Pada bulan lalu, dia menggelar sesiapa yang membenci Rusia, sebagai orang yang rosak akhlaknya dan berjanji untuk berusaha ‘melenyapkan’ mereka. – AFP