Bekas presiden Sudan dibicarakan

KHARTOUM, 21 JULAI – Bekas presiden Sudan Omar al-Bashir, disingkirkan di tengah pemberontakan pro-demokrasi pada tahun lalu, dibicarakan hari ini berhubung rampasan kuasa tentera yang membantunya berkuasa lebih tiga dekad lalu.

Bashir, 76, mungkin berdepan hukuman mati sekiranya disabit bersalah dalam penggulingan kerajaan perdana menteri adek al-Mahdi pada 1989.

Selain Bashir, 27 tertuduh juga dibicarakan di mahkamah Khartoum, yang dikawal ketat oleh polis di luar dengan senapang AK-47, belantan dan gas pemedih mata.

“Mahkamah ini akan mendengar kepada setiap mereka dan kami akan memberikan setiap daripada 28 tertuduh peluang untuk membela diri mereka,” kata presiden mahkamah, Issam al-Din Mohammad Ibrahim.

Bashir, yang ditempatkan bersama tertuduh lain dalam kawasan berkurung bilik mahkamah, tidak bercakap semasa sesi pembukaan perbicaraan yang berakhir kira-kira sejam kemudian, dengan perbicaraan akan datang dijadualkan pada 11 Ogos.

Di luar bangunan mahkamah, puluhan ahli keluarga defendan berkumpul, kebanyakannya melaung ‘Allahu Allahu.’

Perbicaraan diadakan tatkala kerajaan sementara pasca revolusi Sudan melancarkan beberapa siri pembaharuan dalam harapan menyertai sepenuhnya komuniti antarabangsa. Juga dibicarakan adalah bekas naib presiden Bashir Ali Osman Taha dan Bakri Hassan Saleh dan beberapa bekas menteri dan gabenor beliau. – AFP

Ahli keluarga tertuduh berkumpul di luar mahkamah Khartoum semasa perbicaraan bekas presiden Omar al-Bashir bersama 27 tertuduh di ibu negara Sudan, kelmarin. – AFP