Bekas Presiden Vietnam meninggal dunia

HANOI, 23 April – Jeneral Le Duc Anh, seorang anggota parti Komunis yang berpendirian tegas, bekas presiden Vietnam yang pernah mengetuai serangan ke atas Kemboja dan membawa kepada kejatuhan rejim Khmer Rouge, telah meninggal dunia pada usia 99 tahun.

Duc Anh yang dilahirkan pada tahun 1920 banyak menghabiskan perjalanan kehidupannya di selatan Vietnam di mana beliau menyertai perang komunis ke atas Perancis dan Amerika Syarikat.

Duc Anh meninggal dunia lewat semalam setelah menanggung sakit yng lama, umum kerajaan dan media kerajaan.

Dia pernah menyandang jawatan presiden antara tahun 1992 hingga 1997, memperjuangkan keutamaan parti Komunis secara berterusan ketika Vietnam memulakan reformasi menyeluruh pasaran yang telah menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

Dalam tahun 1995, beliau menjadi pemimpin negara pertama Vietnam menjejakkan kaki ke bumi Amerika Syarikat selepas Perang Vietnam apabila menghadiri Ulang tahun ke-50 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.

Mendapat pendidikan di bekas Soviet Union dan buta sebelah matanya, beliau pernah memegang pelbagai jawatan tentera ketika Perang Vietnam.

Dia adalah salah seorang ‘pembebas Saigon’ ketika menyandang jawatan timbalan pemerintah serangan yang menggulingkan kerajaan Selatan Vietnam yang disokong Amerika Syarikat.

Beliau amat dikenang kerana peranan utamanya mengetuai serangan ke atas Kemboja yang pernah mengusir rejim Pol Pot, Khmer Rouge dari Phnom Penh dalam tahun 1978 hingga beliau menerima gelaran ‘Harimau Kemboja’.

Upacara pengebumian negara akan diadakan di negara itu. – AFP

Bekas Presiden Vietnam, Le Duc Anh yang pernah mengetuai serangan ke atas Kemboja dan membawa kepada kejatuhan rejim Khmer Rouge meninggal dunia pada usia 99 tahun. – AFP