Bekas raja Sepanyol diselar tinggalkan negara ketika siasatan rasuah

MOSCOW, 4 OGOS – Timbalan Perdana Menteri Sepanyol Pablo Iglesias berkata bekas raja, Raja Juan Carlos I, harus menjawab tindakannya di Sepanyol berikutan keputusannya untuk meninggalkan negara itu ketika dalam siasatan rasuah, lapor agensi berita Sputnik.

“Penerbangan Juan Carlos de Borbon ke luar negara adalah tindakan yang tidak patut dilakukan oleh bekas ketua negara dan meninggalkan monarki dalam kedudukan yang sangat terjejas,” ciap Pablo Iglesias di Twitter pada Isnin, sambil menambah bahawa raja yang telah bersara itu “harus menjawab tindakannya di Sepanyol terhadap rakyatnya,” sebagai menghormati demokrasi Sepanyol.

Pada Isnin, raja yang telah bersara itu mengirim sepucuk surat kepada puteranya, Raja Felipe, yang menyatakan beliau telah memutuskan untuk meninggalkan negara itu. Bekas peguam raja, Javier Sanchez-Junco pada hari yang sama berkata Juan Carlos I akan tetap berada di tangan pendakwa raya Sepanyol walaupun keputusannya untuk meninggalkan negara ini di tengah-tengah skandal rasuah.

Pada Jun, Mahkamah Agung Sepanyol melancarkan saisatan terhadap peranan Juan Carlos dalam kes antirasuah mengenai kontrak pembinaan 2011 untuk kereta api berkelajuan tinggi dari Mekah, Arab Saudi ke Madinah. -Bernama