Bekas timbalan pengarah SKMM Sabah didakwa lagi

KOTA KINABALU, 26 OGOS – Bekas Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Sabah sekali lagi didakwa di Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini atas tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM13,200 antara 2013 dan 2014.

Karmilla Amirkhan, 41, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Bagi kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curangnya telah mengemukakan suatu dokumen palsu sebagai tulen bagi tujuan menipu iaitu bagi membuat tuntutan perbelanjaan Program Klik Dengan Bijak di Tingkat 10, Menara MAA, SKMM antara 1 Julai 2013 hingga 5 Ogos 2014

Ketiga tiga pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun yang sama.

Tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan alter-natif melakukan pecah amanah di tempat dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama. – Bernama