Bekerjasama dalam menangani sindiket lebihan visa

Saya telah membaca dengan penuh minat mengenai satu kiriman surat yang bertajuk ‘Surplus Visa Racket Dupes Bangladeshi Workers’ yang disiarkan di Borneo Bulletin pada 21 Ogos lalu.

Surat kiriman pembaca itu tidak memeranjatkan kerana saya telah menyaksikan sendiri beberapa pekerja asing yang berkumpul dan melepak di kawasan-kawasan komersial. Seseorang perlu berfikir, adakah mereka bekerja di negara ini. Terdapat banyak contoh di mana ada sesetengah pekerja asing ini akan pergi ke rumah-rumah untuk meminta sebarang pekerjaan yang boleh dibuat.

Apabila kita berkata tidak, mereka akan meminta makanan dan air serta mendakwa bahawa mereka tidak mempunyai sebarang wang untuk membeli makanan dan minuman. Malah mereka juga tidak tahu siapakah majikan mereka. Majikan perlu bertanggungjawab atas kesejahteraan pekerja dan memberikan mereka perlindungan serta menjaganya.

Majikan juga perlu memberikan mereka pekerjaan dan tidak membiarkan mereka berkeliaran dengan bebas serta melakukan apa sahaja yang mereka ingin lakukan. Pekerja asing ini tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana mereka fikir apabila sampai di negara ini dengan visa pekerjaan yang sah, pekerjaan sedang menanti mereka.

Saya hanya boleh menganggap terdapatnya ‘orang dalam’ yang membantu broker buruh bagi menyediakan cara bagaimana pekerja asing memasuki negara ini. Broker buruh dan ‘orang dalam’ bekerjasama bagi mendapatkan keuntungan dengan menipu sistem buruh.

Saya telah mendengar khabar angin bahawa majikan di sini akan mendakwa dengan mengenakan bayaran sebulan untuk menyewa visa pekerja. Amalan ini sebenarnya menyalahi undang-undang. Saya juga telah melihat seorang pekerja asing yang meminta kerja di laman-laman media sosial.

Pekerja asing juga telah menghantar visa pekerja asing palsu dengan alamat majikan palsu. Ia juga menyatakan bahawa gaji pekerja adalah $1,000 sebulan. Oleh itu, saya menggesa pihak berkuasa supaya tegas dengan menghindari sindiket yang menyalahi undang-undang ini.

Saya menyeru orang ramai untuk tidak menggunakan tenaga kerja haram dan menyokong pelaku. Bersama-sama kita menjadikan negara kita bebas daripada semua aktiviti jenayah seperti ini. – Pemerhati tempatan, BSB.