Tuesday, April 16, 2024
31.7 C
Brunei

    -

    Bekerjasama jana semula pertumbuhan ekonomi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JAN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan menyaksikan Majlis Penandatanganan bagi memorandum persefahaman (MoU) di antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Agensi Pelaburan Brunei (BIA), di Istana Nurul Iman. 

    Menandatangani bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Pemangku Pengarah Urusan, Agensi Pelaburan Brunei, Haji Sofian bin Mohammad Jani, manakala kerajaan Malaysia diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Wira Arham Abdul Rahman.

    MoU tersebut antara lainnya memberikan pemahaman awal bagi kedua-dia belah pihak untuk mengadakan rundingan ke arah pelaksanaan dan penyediaan perjanjian lanjut mengenai pelaburan dua hala yang boleh dijalankan oleh pihak-pihak tertentu di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia.

    Ia merangkumi kerjasama dan pelaburan dua hala dalam sektor minyak dan gas hiliran, ekonomi digital, pembuatan pintar, pertanian pintar, kecerdasan buatan, pelancongan dan industri makanan halal.

              Terdahulu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan menerima mengadap Perdana Menteri Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dan isteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah binti Dr Wan Ismail.

    Sebelum majlis mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri berkenan berangkat mengalu-alukan ketibaan TYT Perdana Menteri Malaysia dan isteri di perkarangan Istana Nurul Iman, dan seterusnya memperkenalkan TYT Perdana Menteri Malaysia dan isteri kepada kerabat diraja.

    Berangkat sama ke majlis tersebut ialah kerabat diraja.

    Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, selaku menteri pengiring, dan isteri.

     

    Majlis Perjumpaan Empat Mata

    Selepas majlis mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat bersama TYT Perdana Menteri Malaysia bagi Majlis Perjumpaan Empat Mata.

    Semasa perjumpaan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan TYT Perdana Menteri Malaysia membincangkan mengenai hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia serta usaha-usaha dalam mengeratkan lagi kerjasama antara kedua-dua buah negara termasuk melalui pemeteraian MoU di dalam bidang pelaburan.

    Kedua-dua pemimpin juga berbincang mengenai peluang-peluang kerjasama baharu yang dapat diterokai demi manfaat kedua-dua buah negara.

     

    Majlis Persantapan Rasmi

    Pada sebelah tengah hari, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri seterusnya berangkat ke Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman bersama TYT Perdana Menteri Malaysia dan isteri untuk menghadiri Majlis Persantapan Rasmi, berserta dengan kerabat diraja dan rombongan dari Malaysia.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan mengurniakan titah, di mana Baginda merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan TYT Dato’ Seri sebagai Perdana Menteri Malaysia, dan Baginda juga menyuarakan keyakinan bahawa visi TYT Dato’ Seri dalam ‘Membangun Malaysia Madani’, akan membawa kemajuan dan kemakmuran yang berpanjangan kepada negara dan rakyat Malaysia.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam dan Malaysia menikmati hubungan silaturahim yang akrab di antara kerabat diraja, kerajaan dan segenap lapisan rakyat yang tercetus daripada persamaan sejarah, agama, rumpun dan bahasa.

    Tambahan pula dengan cabaran COVID telah mengeratkan lagi tali persaudaraan tersebut dan membolehkan kedua-dua buah negara sama-sama melangkah ke Fasa Pemulihan dengan azam untuk menggiatkan lagi kerjasama kedua-dua buah negara yang terjejas semasa pandemik.

    Oleh itu, Baginda menyambut baik inisiatif bersama ke arah menjana semula pertumbuhan ekonomi di pelbagai bidang, termasuk penandatanganan MoU dalam bidang pelaburan.

    Baginda juga menekankan kepentingan Perundingan Tahunan Ketua-ketua Kerajaan sebagai mekanisme utama dalam meningkatkan hubungan kerjasama dua hala dan merangka hala tuju di masa hadapan, serta mengekalkan komitmen kedua-dua buah negara dalam melaksanakan ‘Exchange of Letters’ yang dipersetujui oleh kedua-dua buah negara lebih 10 tahun yang lalu.

    Baginda Sultan selanjutnya bertitah bahawa ASEAN mempunyai peranan dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau, dan ‘ASEAN Centrality’ perlu terus ditekankan.

    Dalam pada itu, Baginda melahirkan keyakinan bahawa kepimpinan Malaysia sebagai ‘Permanent Shepherd’ dalam menghasilkan ‘ASEAN Community’s Post-2025 Vision’ akan memastikan ASEAN kekal relevan di rantau ini.

    Dalam mengakhiri titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berharap supaya hubungan para pemimpin berkenaan akan terus luhur dan diberkati oleh Allah SWT.

    Ini diikuti dengan ucapan balas daripada TYT Perdana Menteri Malaysia di mana beliau menghargai persahabatan antara kedua-dua buah negara yang berasaskan liku sejarah yang panjang serta tradisi kesultanan Melayu Islam yang telah menyumbang kepada pembangunan hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia.

    TYT Perdana Menteri Malaysia mengalu-alukan bagi kerjasama daripada segi ekonomi dan pelaburan dua hala untuk terus meningkat, dan seterusnya menekankan kepentingan untuk memastikan hubungan istimewa dan kesungguhan dalam melaksanakan apa jua persetujuan dijalankan dengan ikhlas.

    Pada penghujung ucapan, Tuan Yang Terutama telah menjemput Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk mengadakan lawatan ke Malaysia.

    TYT Perdana Menteri Malaysia dan isteri, serta rombongan berada di negara ini bagi mengadakan lawatan rasmi ke Negara Brunei Darussalam selama dua hari.

     

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bersama TYT Perdana Menteri Malaysia bagi Majlis Perjumpaan Empat Mata.
    Baginda Sultan berkenan menyaksikan Majlis Penandatanganan bagi memorandum persefahaman (MoU) di antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Agensi Pelaburan Brunei (BIA), di Istana Nurul Iman.
     Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah semasa Majlis Persantapan Rasmi di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman.

     

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sapporo alami musim panas paling awal

    TOKYO, 15 APRIL - Suhu di bandar utara Jepun, Sapporo melepasi 25 darjah Celsius, catatan paling awal dalam mana-mana tahun dalam rekod, kata seorang...