Bekerjasama menangani wabak

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – Kita sangat beruntung kerana mempunyai kumpulan yang prihatin di Kementerian Kesihatan dari peringkat atas sampai ke peringkat bawah.

Semua orang memainkan peranan yang penting dan tiada siapa yang membawa peranan yang kecil kerana semuanya penting. Kenyataan tersebut telah dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada sesi soal jawab semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Alhamdulillah, dengan semangat untuk memastikan penularan wabak ini dikawal, semua orang bukan sahaja di Kementerian Kesihatan tetapi juga semua agensi dari kementerian-kementerian lain, telah bekerjasama rapat dalam menangani wabak ini sejak bulan Januari lagi.

“Kami mempunyai beberapa sesi brainstorming bersama menteri-menteri, oleh itu kami telah berurusan dan bekerjasama di antara satu sama lain dan semua orang memahami batasan mereka,” kongsinya.

Menurut Yang Berhormat Dato, dari awal lagi, rancangan yang dibuat bukanlah satu kejutan kerana semuanya dalam perancangan.

Kerja-kerja menyahkuman dijalankan di Hospital RIPAS baru-baru ini, dalam usaha semua pihak membendung penularan COVID-19.

Mereka pernah menjalankan penilaian daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk bencana seperti ini yang diadakan pada tahun lepas dari bulan Oktober.

“Itulah sebabnya agensi-agensi lain tahu apa yang perlu dilakukan terutamanya NDMC, Polis Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan juga kementerian-kementerian lain,” katanya.

Semangat bersatu padu telah menolong semua pihak untuk menguruskan dan menangani masalah ini dengan lebih berkesan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga mengongsikan bahawa ini adalah buat kali pertama kita mengalami wabak penyakit berjangkit yang berskala besar, bukan di negara kita sahaja bahkan di seluruh dunia dan ianya merupakan satu kejutan.

Oleh itu, kita perlu mempelajari darinya untuk membolehkan kita membuat persediaan yang lebih baik pada masa depan.