‘HAIQAL budak gajah’ dan ‘Hareez gajah’. Itu gelaran yang diterima penuntut semester tiga Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Seni, Hareez Haiqal Shaari sejak obses mengumpul patung dan barangan lain yang bermotifkan gajah.
Hareez, 23, berkata, gelaran itu diberi rakannya ketika di sekolah dan semasa menyambung pengajian peringkat diploma di Universiti Selangor (UNISEL) kampus Bestari Jaya, Selangor.
Anak bongsu daripada dua beradik ini berkata, dia tidak kisah digelar sebegitu kerana memang meminati gajah dan akan mengumpul apa jua barangan yang berkaitan haiwan berkenaan.
“Saya mula tertarik dengan gajah sejak menonton rancangan Animal Planet ketika berumur lima tahun.
“Pada mulanya, minat itu tidaklah keterlaluan namun semakin bertambah apabila mula mengumpul patung dan hampir semua barangan termasuk kotak pensel dan beg sekolah yang mempunyai motif gajah.


“Kerana minat itu juga, saya mencari maklumat di Internet dan belajar banyak perkara berkaitan gajah untuk mengetahui jenis, sifat dan tabiatnya,” katanya yang menjadikan pemilik muzium gajah, Mister Ed sebagai sumber inspirasi.
Nilai yang tinggi
Hareez berkata, sehingga kini dia mempunyai pelbagai koleksi berkaitan gajah berjumlah kira-kira 1,800 unit antaranya patung, baju, bantal, rantai kunci dan setem yang bernilai kira-kira RM15,000.
Menurut Hareez, sebahagian barangan itu dibeli sendiri manakala selebihnya dihadiahkan ibu dan rakan.
“Ibu paling memahami minat saya malah dia akan membelikan mainan, patung dan barangan lain berkaitan gajah sebagai cenderahati jika bercuti di luar negara.
“Saya juga begitu malah sanggup pergi ke zoo dan meluangkan masa selama sejam hanya untuk melihat gajah.
“Pernah juga saya berangan-angan untuk membela gajah di rumah tetapi membatalkan hasrat itu selepas mengambil kira beberapa perkara,” katanya yang bercita-cita menjadi guru Pendidikan Seni.
Hareez berkata, dia yakin minatnya tidak sia-sia sebaliknya bermanfaat kerana secara tidak langsung dapat mendekatkan dirinya dengan haiwan mamalia darat berkenaan.
Malah, Hareez berkata, di samping mengumpul koleksi mainan dan barangan, dia mempunyai impian lebih besar iaitu membuka muzium koleksi gajah pertama di Asia.
“Setakat ini, tiada lagi muzium seumpama itu di Asia jadi saya mahu jadi individu pertama membukanya.
“Dengan adanya muzium itu, saya dapat mempamerkan koleksi yang ada sekali gus berkongsi fakta menarik mengenai gajah dengan orang ramai terutama generasi baru,” katanya yang mahu mencipta rekod dalam Malaysia Books of Records (MBOR) menerusi pembukaan muzium berkenaan. – Agensi