Belajar dan timba pengalaman

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Julai – Dengan catatan masa 2.25.72 saat sekali gus mengatasi masa 2.27.69 saat yang dicatatkan sebelum ini, perenang Brunei Darussalam, Nur Haziq Samil berjaya memecahkan rekod peribadinya dalam Kejohanan Renang Kumpulan Umur Asia Tenggara kali ke-42 baru-baru ini.

Dua lagi perenang Brunei Darussalam turut beraksi pada kejohanan tersebut iaitu Natasha Sia dan Emma Yusuf dengan rombongan renang negara diketuai oleh Pengurus Pasukan, Awangku Abdul Farid bin Pengiran Idrus dan Jurulatih, Harjimmey Zainal.

Mengulas mengenai pencapaian perenang negara di sana, Awangku Abdul Farid meluahkan rasa gembira atas pencapaian mereka yang masing-masing berhasil memecahkan rekod peribadi.

“Bagi saya, ini merupakan satu pendedahan yang amat baik untuk mereka pelajari dan mendalami lagi selok-belok pertandingan renang serta untuk mereka merancang kekuatan baharu bagi pertandingan masa hadapan,” ujarnya.

Barisan perenang negara ketika menghadiri majlis resepsi bersempena Kejohanan Renang Kumpulan Umur Asia Tenggara kali ke-42 di Filipina baru-baru ini. – Gambar oleh BASA

Menurutnya lagi, sokongan moral menjadi cabaran besar di sana namun ia bukan alasan untuk tidak melakukan sebaik mungkin dan perlu untuk lebih banyak berlatih dengan konsisten dan meningkatkan lagi daya saing yang lebih kuat untuk masa hadapan.

“Sememangnya Persatuan Renang Amatur Brunei (BASA) telah menjalani satu program iaitu ‘Learn to Swim’ dan ini merupakan satu inisiatif persatuan dan disokong oleh Jabatan Belia dan Sukan,” katanya.

Tambahnya, program ini akan memberikan peluang untuk anak-anak muda untuk belajar dan memperoleh ilmu sukan renang yang dilatih oleh jurulatih diiktiraf.