‘Belajar daripada kemenangan’

GELSENKIRCHEN, Jerman, 21 Feb – Pengendali Manchester City, Pep Guardiola berkata skuadnya tidak akan mampu memberi cabaran untuk gelaran Liga Juara-Juara musim ini melainkan mereka belajar daripada kemenangan dramatik 3-2 di Schalke dengan bermain 10 orang pagi tadi.

“Kami tidak akan pergi jauh dalam kejohanan ini melainkan kami perlu meningkat,” kata pengurus City, Guardiola.

“Pada penghujungnya, kualiti yang dimiliki (Leroy) Sane dan (Raheem) Sterling memberikan perbezaan.

“Keputusan ini amat bagus, tapi kami menghadiahkan dua penalti dan kad merah, jadi kami belum bersedia bertarung untuk Liga Juara-Juara.”

City berada dalam bahaya apabila ketinggalan 2-1 dengan perlawanan hanya berbaki 22 minit apabila Nicolas Otamendi dibuang padang sebelum jaringan Leroy Sane dan Raheem Sterling dalam lima minit terakhir menukar kelebihan dalam saingan 16 pasukan terakhir itu.

Sane, yang masuk pada baki 12 minit, menyempurnakan sepakan percuma menakjubkan untuk menyamakan kedudukan dan gembira menjaringkan gol berdepan kelab lamanya, Schalke sebelum berpindah ke Manchester City pada 2016.

“Saya mahu menyepak dari posisi itu kerana saya sudah melakukannya dan jaringan itu memberikan kami keyakinan, seterusnya membawa kemenangan buat kami,” kata pemain antarabangsa Jerman itu.

“Kami tidak bermula dengan baik, tapi kami gembira kami menang dan meledak tiga jaringan di tempat lawan adalah bagus.”

City masih perlu bekerja keras pada perlawanan timbal balik 12 Mac depan dengan Fernandinho dan Otamendi masing-masing digantung perlawanan. – AFP