Belajar melukis daripada kartunis Malaysia

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Kira-kira 20 orang menyertai Bengkel Melukis bersama Kartunis Joy dari Malaysia yang diadakan bersempena Pesta Buku Brunei 2020 yang sedang berlangsung selama 10 hari hingga 8 Mac, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

Semasa bengkel berkenaan, para peserta berpeluang menyaksikan sendiri demonstrasi melukis daripada pakar-pakar kartunis yang berpengalaman.

Pegawai Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Hajah Noreidah binti Haji Ibrahim ketika ditemui semasa bengkel tersebut menjelaskan bahawa antara tujuan aktiviti seumpama itu diadakan bagi memberi pendedahan serta tunjuk ajar dan perkongsian bersama para peserta mengenai cara dan teknik yang para pembentang gunakan sepanjang kerjaya mereka di Malaysia.

Di samping itu, Hajah Noreidah turut memberitahu bahawa sebahagian besar daripada para peserta yang menyertai bengkel berkenaan merupakan kakitangan DBP Brunei.

Salah seorang pembengkel yang ditemui, Zulseiri Azhar atau lebih dikenali dengan nama Joy yang memulakan kerjaya sejak dibangku sekolah lagi, menjelaskan bahawa ketika masih bersekolah beliau aktif menghantar karya-karya lukisannya ke majalah-majalah di Malaysia.

Beliau yang turut terlibat menghasilkan lukisan untuk banyak agensi di Malaysia seperti Anak-anak Sidek, iklan Coco Crunch, Paddlepop dan sebagainya berasa teruja untuk mengongsikan pengalaman serta pengetahuannya dalam bidang lukisan kartun dan lukisan karikatur kepada para peserta di negara ini.

Zulseiri Azhar berharap penerimaan kartun di negara ini dapat diterima dengan lebih baik dan meriah bagi meningkatkan lagi kualiti industri lukisan di negara ini sama seperti yang dihasilkan oleh pelukis-pelukis antarabangsa yang lain.

Selain itu, beliau juga teruja untuk menyertai Pesta Buku 2020 berkenaan dan gembira dengan sambutan yang diperolehinya sepanjang berlangsungnya pesta buku pada kali ini.
Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan lukisan karikatur yang dihasilkan oleh beliau bolehlah mengunjungi Pesta Buku 2020.

Zulseiri ketika memberi penerangan semasa bengkel berkenaan.
Antara yang mengikuti bengkel melukis berkenaan sempena Pesta Buku Brunei 2020.