Belajar muzik secara inovatif dalam trak

HONG KONG – Yoyo, 6 tahun, memainkan lagu dengan penuh khusyuk di piano di belakang sebuah trak – masih boleh berlatih selepas sekolah muzik yang inovatif di Hong Kong meneruskan kelas muzik walaupun semasa pandemik koronavirus.

Sementara jangkitan di Hong Kong masih rendah berbanding negara lain, mencatat kira-kira 1,000 kes dan empat kematian, sekolah telah ditutup sejak akhir Januari dan pihak berkuasa telah mempertingkatkan langkah penjarakan sosial dalam beberapa minggu ini.

Sekolah-sekolah dan perkhidmatan tutor telah beralih kepada pembelajaran dalam talian. Namun guru peribadi muzik seperti Evan Kam berusaha mengekalkan kelas peribadi – sementara mengurangkan risiko jangkitan untuk guru dan juga pelajar.

“Pengajaran video tidak begitu sesuai untuk kami kerana penjarian lagu di piano dan gerak isyarat lebih baik diajar dengan seorang guru di sebelah anda,” beritahu tutor berusia 28 tahun itu kepada AFP.

Pusat tutor di mana Kam bekerja melihat perniagaan merosot sebanyak 70 peratus pada bulan Februari apabila jangkitan pertama muncul di Hong Kong disebar dari China.

Evan Kam bermain muzik dalam trak pianonya. – AFP
Yoyo, 6, menghadiri kelas piano tatkala gurunya membimbingnya dalam ‘trak piano’ di Hong Kong. – AFP

Pelajar piano Alfred Tang semasa tiba untuk menghadiri kelas muzik dalam trak di Hong Kong. – AFP

Ramai pelajar menghentikan pembelajaran disebabkan mereka tidak mahu menggunakan pengangkutan awam.

Menerima inspirasi daripada perpustakaan bergerak, syarikat itu menyewa tiga buah trak dan memasang bilik darjah muzik mudah alih, lengkap dengan penyaman udara dan papan kalis bunyi.

Guru muzik Evan Kam dan rakan sekerjanya mula menawarkan kelas dalam trak piano pada Februari 2020, selepas kebanyakan pelajar tidak dapat menghadiri kelas piano disebabkan kebimbangan mengenai wabak COVID-19.

Trak piano itu dipandu berhampiran tempat pelajar tinggal dan dibasmi kuman sebelum dan selepas setiap kelas. Topeng muka adalah wajib untuk tutor dan pelajar dan gel sanitizer disediakan dalam trak.

“Kami mahu rakan sekerja kami mempunyai kerja.

Itulah sebabnya kenapa kami mahu keluar daripada zon selesa kami dan melihat sejauh mana kami mampu bertahan,” kata Jessica Lam, pengurus pembangunan perniagaan firma tersebut.

“Kami ingin menawarkan perkhidmatan secara langsung ke tempat di mana pelajar tinggal untuk memendekkan masa perjalanan mereka,” tambah beliau.

Pada minggu lalu, trak Kam berada di Ha Tsuen, sebuah kampung terpencil di barat laut Hong Kong, berhampiran dengan sempadan China.

Selepas meletak trak tersebut di satu kawasan, beliau membersihkan papan nada, memasang penapis udara, menyembur alas kaki dengan disinfektan dan menyediakan pembersih (sanitiser) tangan untuk pelajarnya.

Tidak lama kemudian, Alfred Tang, 10 dan adiknya Yoyo tiba. Kedua-duanya pelajar permulaan, Alfred memainkan balada berjudul ‘Proud of You’ sementara Yoyo memperbaiki persembahan lagu menarik ‘Baby Shark’.

Ibu mereka, yang enggan memberikan nama pertamanya, berkata kelas berkenaan merupakan aktiviti menyeronokkan untuk kanak-kanak, yang berkurung di dalam rumah sepanjang minggu.

“Ia senang bagi kami, kerana kami hanya turun ke bawah dan mengikuti kelas tersebut,” beritahunya kepada AFP.

“Anak-anak saya kebanyakannya tinggal di rumah kerana sekolah telah digantung dan kami tidak selalu mengunjungi bandar.” – AFP