Belajar pengekodan sebagai satu permainan

BEIJING – Memakai sepasang kaca mata berbingkai hitam dan kemeja-T merah, seorang budak lelaki berumur lapan tahun membuka komputer untuk mengajar kursus pengekodan dalam talian – sebagai seorang guru.

Vita telah menubuhkan satu saluran tutorial pengekodan di laman penstriman video China Bilibili sejak Ogos dan setakat ini berkata mengumpul hampir 60,000 pengikut dan lebih satu juta tontonan.

Beliau adalah antara sejumlah kanak-kanak yang meningkat di China yang sedang mempelajari pengekodan walaupun sebelum mereka memasuki sekolah rendah. Trend tersebut telah didorong oleh kepercayaan ibu bapa bahawa kemahiran pengekodan adalah penting untuk remaja China berdasarkan kempen teknologi yang dilancarkan oleh kerajaan.

“Pengekodan bukan senang namun bukan juga sukar – sekurang-kurangnya tidak sesukar seperti yang anda bayangkan,” kata Vita, yang tinggal di Shanghai.

Budak lelaki itu menggunakan salurannya untuk menerima pelajarnya, yang kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak yang lebih tua daripadanya dan juga orang dewasa muda – langkah demi langkah menerusi aplikasi pengekodan yang dicipta oleh Apple bernama Swift Playgrounds.

Gambar yang diambil pada 7 November menunjukkan Zhou Ziheng (kiri) membantu anak lelakinya Vita mencipta satu permainan dengan kod di komputer ribanya di rumah mereka di Shanghai. – AFP

Memberi penjelasan sambil menunjukkan komputernya, beliau ada kalanya sengaja membuat kesilapan untuk membantu menunjukkan kesilapan umum untuk dielakkan.

“Apabila saya mengajar, saya mempelajari perkara baharu pada masa yang sama,” tambah Vita.

China telah membuat pelaburan besar dalam robotik dan Kecerdasan Buatan (AI), dengan kerajaan mengeluarkan pelan pembangunan AI pada 2017 yang menyarankan supaya kursus pemprograman diajar di sekolah rendah dan menengah.

China menerbitkan buku teks AI pertamanya pada tahun lalu, sementara wilayah timur Zhejiang menyenarai pemprograman sebagai salah satu subjek untuk pemeriksaan kemasukan kolej. Bagi Vita, bapanya Zhou Ziheng, yang telah menjadi sokongan utamanya, menyunting video dan membantu mengendali saluran itu.

Zhou, penterjemah bebas untuk buku saintifik dan teknologi, mula mengajar anak lelakinya bagaimana menulis kod apabila dia berumur lima tahun.

“Saya belajar pengekodan apabila saya masih kecil, jadi saya yakin Vita yang belajar pengekodan pada usia muda ini adalah sesuatu yang bukan luar biasa,” kata beliau. Apabila Vita berusia empat tahun, mereka bermula dengan bermain beberapa permainan berkaitan pengekodan bersama, yang menggunakan ikon untuk mengganti kod.

Setelah melihat Vita bermain permainan berkenaan dengan amat baik, Zhou memutuskan untuk membantunya menggunakan beberapa kod sebenar. Pada musim panas ini, Vita mengejutkan bapanya dengan berjaya menulis semula kod dalam aplikasi yang gagal berfungsi dalam sistem yang dikemaskini oleh dirinya sendiri.

“Saya memberi cadangan kepadanya supaya mencatat bagaimana dia menulis semula kod berkenaan,” kata Zhou, dan idea untuk kelas dalam talian timbul. Kebanyakan komen dalam video dalam talian Vita meluahkan perasaan kagum bahawa dia boleh menulis kod malah mengajar orang lain pada usia yang begitu muda.

“Saya hanya belajar bagaimana menggunakan komputer apabila saya berusia lapan tahun,” tulis seorang peminat.

Ibu bapa yang tidak mempunyai kemahiran untuk membantu boleh menghantar anak mereka ke agensi pengekodan, yang sedang berkembang pesat disebabkan permintaan daripada keluarga kelas pertengahan China yang mencari kemahiran terbaik untuk anak mereka.

Nilai pasaran pendidikan pemprograman China untuk kanak-kanak adalah 7.5 bilion yuan pada 2017, namun dijangka melebihi 37.7 bilion yuan menjelang tahun 2020, menurut Analysys, firma analisis Internet China.

Pendidikan pemprograman China di sekolah kerajaan bermula amat akhir berbanding di negara maju, maka agensi tutorial selepas sekolah kami mengganti untuk menebus kelemahan tersebut,” kata Pan Gongbo, pengurus besar Tongcheng Tongmei di Beijing, sebuah pusat pendidikan pengekodan.

Pelajar paling muda di sekolah itu hanya berusia tiga tahun. Untuk kanak-kanak di bawah umur enam tahun, agensi itu menawarkan program khas yang termasuk aktiviti seperti membina Lego, yang juga menggunakan pengetahuan dan kemahiran pengekodan.

Menurut Pan, kanak-kanak pada umur enam atau tujuh tahun mampu mempelajari pengekodan dalam pembangunan kognitif.

“Jangan pandang rendah kadar pembelajaran kanak-kanak. Dalam sesetengah kursus kami, mereka belajar lebih cepat daripada orang dewasa,” kata beliau. Ji Yingzhe, 10 tahun, telah belajar bahasa pengekodan Python selama setengah tahun di agensi. Sebelum itu, dia mengikuti kursus satu semester mengenai pembinaan robot asas, yang dirasanya terlalu mudah.

“Kod telah pun ditulis untuk anda, dan apa yang anda perlu lakukan adalah menyusun blok kod berkenaan dalam urutan,” beritahunya kepada AFP.

Bapa Ji menghantarnya untuk belajar pemprograman kerana dia menghabiskan terlalu banyak masa bermain permainan video.

Terdapat peraturan baharu dalam rumah: Ji hanya boleh bermain permainan yang diciptanya sendiri.

Ji hampir siap menulis versi ringkas permainan popular ‘Plants vs Zombies.’ – AFP