Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Ilmu pengetahuan mengenai bahaya api serta tatacara penggunaan alat pemadam api adalah amat penting untuk diterapkan kepada orang ramai.
Sehubungan itu, Bahagian Perhubungan Awam, Cawangan Operasi E, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah mengadakan Taklimat Keselamatan Kebakaran untuk pegawai, penghulu, ketua-ketua kampung dan agensi-agensi kerajaan di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong pada 28 Jun lalu.
Taklimat yang dikendalikan oleh Jabatan Daerah Tutong itu dihadiri oleh seramai 70 orang peserta dengan taklimat disampaikan oleh Timbalan Pegawai Balai, Mohd Azlan.
Semasa taklimat itu, beliau menyampaikan penerangan mengenai tatacara penggunaan alat pemadam api dan memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai bahaya api serta bertindak secara profesional apabila menghadapi api kebakaran sama ada di rumah kediaman ataupun di mana saja mereka berada.
JBP menyarankan orang ramai supaya sentiasa peka dalam membuat sesuatu perkara dari sudut keselamatan kebakaran yang harus dititik beratkan.
Mereka juga harus selalu berwaspada semasa melakukan sebarang pekerjaan mahu pun di luar atau dalam rumah.
Dalam pada itu, JBP juga menyatakan bahawa jabatan berkenaan turut menyediakan program-program keselamatan seperti Kursus Life Saver 995 dan Kursus Marsyal Bomba bagi mengetahui aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan alat pemadam api yang khusus.