Belalai anak gajah dipotong gara-gara kena perangkap

BANDA ACEH, 15 NOV – Perangkap digunakan pemburu haram menjerat spesies terancam telah mengena anak gajah di pulau Sumatera, Indonesia, sehingga belalainya terpaksa dipotong separuh selepas ditemui oleh pihak berkuasa.

Anak gajah berusia setahun itu adalah antara 700 gajah liar Sumatera terakhir di pulau itu. Ia ditemui dalam keadaan amat lemah dengan perangkap masih lagi tertanam dalam belalainya yang hampir putus pada Ahad di Alue Meuraksa, sebuah kampung pinggir hutan di daerah Aceh Jaya, kata Agus Arianto, ketua agensi pemuliharaan di wilayah Aceh.

“Perangkap itu memang digunakan untuk memburu haiwan terancam untuk mendapatkan wang,” kata Arianto dalam satu kenyataan. “Kami akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang dalam siasatan ini.”

Arianto mengatakan anak gajah itu tampaknya ditinggalkan oleh kawanannya kerana keadaannya yang teruk selepas terkena perangkap, yang dikatakan dipasang oleh pemburu haram.

Menurutnya, pegawai hidupan liar hari ini terpaksa memotong separuh belalai anak gajah itu dalam satu pembedahan untuk menyelamatkan nyawanya.

Pandemik koronavirus telah mempertingkatkan lagi pemburuan haram di Sumatera, menurut ahli pemuliharaan, ketika penduduk kampung beralih kepada pemburuan atas alasan ekonomi.

Pada Julai, seekor gajah ditemui tanpa kepala di sebuah ladang kelapa sawit di Timur Aceh. Polis memberkas suspek pemburu bersama empat orang dituduh membeli gading gajah daripada haiwan yang mati itu.

Perbicaraan mereka masih lagi diteruskan sejak bulan lalu.

Mereka berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda 100 juta rupiah (AS$7,000) jika sabit kesalahan. – AP

Sayu…anak gajah betina yang kehilangan separuh belalainya akibat terjerat perangkap dipasang oleh pemburu haram.- AP