Belanda bayar pampasan kepada penduduk Iraq

THE HAGUE, 10 SEPT – Belanda akan membayar wang pampasan kepada orang awam yang terselamat dalam serangan udara pada 2015 di Iraq oleh tentera Belanda yang melawan kumpulan militan IS, menurut kementerian pertahanan.

Basim Razzo, yang kehilangan isteri, anak perempuan, saudara dan anak buah dalam serangan pesawat F-16 Belanda di Mosul pada September 2015, akan menerima hampir satu juta euro, menurut penyiaran Belanda, NOS.

Menteri pertahanan, Ank Bijleveld-Schouten berkata dalam surat yang dihantar ke parlimen pada Selasa bahawa dia telah berbincang ‘untuk meneruskan dengan tawaran pampasan secara sukarela atas dasar kemanusiaan’.

Menteri tersebut ingin membayar pampasan kepada Razzo atas ‘penderitaan yang berat menimpanya dan kemusnahan harta benda’ katanya.

Pembayaran itu tidak bermakna Belanda bertanggungjawab atas insiden yang berlaku, kata Bijleveld-Schouten, menambah tidak ada sebarang ‘penyalahgunaan kuasa’ dilakukan.

Surat tidak menyebut jumlah pampasan, sebahagiannya atas permintaan Razzo, tambahnya.

Tentera Belanda berkata mereka telah menyerang sebuah rumah yang dipercayai tempat di mana pejuang IS dikesan tetapi kemudian berkata maklumat yang diberikan adalah tidak tepat dan ia adalah rumah orang awam.

Puluhan warga Iraq meminta pampasan dalam kejadian berasingan ke atas Belanda mengenai serangan udara di Hawija pada 2015 di mana membunuh 70 orang. – AFP