Belanda dijangka umum sekatan baharu

THE HAGUE, 12 NOV – Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte hari ini akan mengumumkan sekatan baharu COVID-19, dilaporkan termasuk ‘perintah berkurung separa’ yang pertama di Barat Eropah pada musim sejuk, ketika kes melonjak ke paras rekod baharu.

Langkah sekatan selama tiga minggu yang dirancang dengan penutupan restoran, kedai-kedai kurang penting ditutup pada pukul 7 malam dan orang ramai sekali lagi disarankan untuk bertugas dari rumah, menurut media tempatan.

Acara-acara awam adalah dibatalkan sementara perlawanan bola sepak termasuk perlawanan kelayakan Piala Dunia pasukan kebangsaan Belanda menentang Norway minggu hadapan mesti diadakan tanpa kehadiran penonton, tambahnya.

Walau bagaimanapun, sekolah-sekolah dilaporkan akan terus dibuka, dan orang ramai dibenarkan untuk meninggalkan rumah tanpa sebarang sekatan.

Rutte dan Menteri Kesihatan, Hugo de Jonge akan mengadakan sidang media untuk mengumumkan langkah membendung penularan, dengan penyiar RTL melaporkan bahawa kabinet menggelarnya sebagai ‘perintah berkurung separa’ bagi ‘mengurangkan jumlah kes dengan segera’.

Sekatan baharu tersebut menyebabkan sensitiviti politik, dengan ribuan penduduk berkumpul di The Hague hujung minggu lalu selepas kerajaan melaksanakan semula pemakaian pelitup muka di beberapa tempat awam pada 2 November lalu. – AFP

Kakitangan kesihatan membantu pesakit bernafas melalui topeng oksigen. Belanda dijangka akan mengumumkan sekatan baharu COVID-19 selepas kes melonjak ke paras rekod baharu. – AP