Thursday, February 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Belanda diserang panda mania

    THE HAGUE, 13 April – Dua ekor panda besar tiba dengan menaiki kapal terbang di lapangan Schiphol, Amsterdam semalam selepas penerbangan berterusan sejauh 8,000 kilometer dari China sebagai pasangan pertama pembiakan baka di Belanda dalam tempo tiga dekad.

    Panda betina Wu Wen dan pasangannya, panda jantan, Xing Ya mendarat di Schipol sekitar pukul 5:30 petang selepas berlepas dari Chengdu, tengah China lebih 10 jam sebelumnya.

    Skrin besar televisyen memperlihatkan panda-panda itu diturunkan di kawasan landasan dari sebuah jet penumpang yang dikendalikan oleh sistem penerbangan Belanda KLM dengan dikelilingi polis sempadan Belanda.

    Kemudian panda-panda itu diperlihatkan kepada lebih 100 orang wartawan dan para tetamu yang berusaha melihat secara sepintas lalu dua ekor panda dalam kurungan khas mereka yang termasuklah plexiglass yang jarang.

    “Saya amat gembira begitu ramai rakan-rakan datang untuk menyambut dua rakan sekerja baru saya,” duta China ke Belanda, Wu Ken memberitahu orang ramai yang bercakap dalam bahasa Belanda.

    Salah seekor panda dipamerkan kepada umum setibanya dua ekor haiwan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Schipol, kelmarin. – AP
    Salah seekor panda dipamerkan kepada umum setibanya dua ekor haiwan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Schipol, kelmarin. – AP

    “Ini adalah langkah terbesar dalam hubungan dua hala antara China dan Belanda,” beliau memberitahu wartawan.

    Kedua-dua ekor panda itu menuju zoo Owehands Dierenpark di Rhenen, di mana mereka akan tinggal secara pinjaman bagi tempoh 15 tahun sebagai sebahagian daripada pameran Asia di taman itu.

    Taman itu telah membina kurungan khas bagi dua ekor panda itu dengan kos kira-kira tujuh juta euro, media Belanda melaporkan semalam.

    Ini termasuklah ruang dalam dan luar, tempat tinggal malam, sebuah tempat penjagaan, penyimpanan sejuk untuk bekalan makanan buluh mereka, klinik veterinar khas dan sebuah kawasan untuk penjaga sepenuh masa mereka, menurut kenyataan zoo Ouwehands.

    “Sambutan hangat menanti mereka, yang mana ia adalah dengan cara bertemakan panda sepenuhnya,” tambah kenyataan taman itu lagi.

    Panda-panda itu akan ditempatkan di taman itu pada kos kira-kira sejuta dolar setahun sepanjang mereka tinggal di sana, tabloid harian Belanda Algemeen Dagblad melaporkan.

    Zoo Ouwehands berkata panda berkenaan ‘akan membuat sumbangan kewangan banyak setiap tahun untuk membantu kegiatan perlindungan semula jadi di China’. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda