DOHA, 22 NOV – Kapten Belanda, Virgil van Dijk mengaku yang skuadnya masih mempunyai ruang untuk diperbaiki walaupun menang 2-0 menentang juara Afrika, Senegal, dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia pada Isnin.
“Kami telah menang, namun kami juga tahu yang kami boleh dan mesti lakukan yang lebih baik lagi,” kata Van Dijk selepas Belanda mendapatkan gol daripada penyerang PSV Eindhoven, Cody Gakpo dan pemain tengah Ajax, Davy Klaassen untuk menduduki tempat teratas dalam Kumpulan A selepas aksi di Stadium Al Thumama, Doha.
“Kadangkala kami cuba untuk paksa sesuatu perkara, dan kerap kali kami membiarkan diri kami terdedah kepada serangan balas Senegal,” katanya kepada stesen penyiar Belanda, NOS.
“Itulah perkara yang perlu kami perbaiki kerana pihak lawan kami yang seterusnya (Ecuador) sangat mahir dalam bab ini. Namun, saya berasa optimis yang kami akan menjadi lebih baik lagi.”
Belanda mendapat tiga mata penuh dalam Kumpulan A sama seperti Ecuador yang mengalahkan pasukan tuan rumah, Qatar 2-0 dalam perlawanan pembukaan pada Ahad. – AFP