Belanda, Jerman, Croatia mara

PARIS, 17 NOV – Belanda, Jerman dan Croatia menjadi pasukan terkemuka terakhir yang berjaya melayakkan diri ke Euro 2020 kelmarin tatkala pasukan trio itu menempa tempat bagi saingan akhir musim panas tahun hadapan.

Austria juga turut serta melayakkan diri, di mana perlawanan tersebut akan bermula pada 12 Jun tahun hadapan dengan 16 pasukan kini telah memastikan pasukan mereka untuk berentap di 24 acara perlawanan dan hanya tinggal empat sahaja tempat lagi berbaki daripada sesi kelayakan utama.

Pasukan-pasukan ini juga akan menyertai pasukan terkemuka lainnya seperti Sepanyol, Itali, England dan Belgium, yang masing-masing bergelut untuk merebut peluang meraih kemenangan apabila perlawanan pembukaan bakal bermula di Stadio Olimpico, Rom.

Ronald Koeman berkata mereka akan memerlukan mata untuk melayakkan diri ke perlawanan utama pertama mereka sejak berada di kedudukan ketiga pada Piala Dunia 2014 dengan meraih apa yang mereka perlukan ketika menentang Ireland Utara di Belfast.

“Ia sangat bermakna untuk kami sebagai pemain. Mudah-mudahan ia memberi makna kepada penduduk Belanda juga,” kata pemain pertahanan Liverpool, Van Dijk.

Aksi pemain Jerman ketika meraikan kemenangan sekali gus melayakkan diri ke Euro 2020 selepas berjaya menewaskan Belarus di Moenchengladbach, kelmarin. – AFP

“Kami akan memastikan persiapan kami secara rapi untuk perlawanan besar ini. Kami telah tewas pada dua perlawanan terakhir, kini kami mahu mempamerkan aksi terbaik.”

Belanda mengesahkan tempat ke Euro 2020 selepas mereka terselamat daripada penalti Steven Davis ketika seri 0-0 berdepan Ireland Utara, awal pagi ini.

Sementara itu pemain pertahanan Matthias Ginter pula menjaringkan satu gol dan terbabit dalam menghasilkan dua lagi gol ketika Jerman mencatat kemenangan selesa 4-0 ke atas Belarus pagi ini, sekali gus memastikan tempat ke pusingan akhir kelayakan Euro 2020 untuk rekod ke-13 kali berturut-turut.

Jerman mempunyai 18 mata – daripada enam seri dan satu kekalahan – sementara Belanda memungut 16 mata dan Ireland Utara 14.

“Saya berpuas hati, ada beberapa gerakan saling bertukar hantaran yang sangat bagus,” kata jurulatih Joachim Loew yang mengambil alih pada 2006 dan akan meneruskan tugas buat kali ketujuh dalam kejohanan utama.

Croatia pula layak ke Euro 2020 selepas jaringan pada separuh masa kedua daripada Nikola Vlasic, Bruno Petkovic dan Ivan Perisic mencetus inspirasi kebangkitan keme-nangan 3-1 di gelanggang sendiri ke atas Slovakia dalam saingan menarik kelayakan bagi Kumpulan E awal pagi ini. – AFP