Belanda laksana perintah berkurung sempena Krismas

THE HAGUE, 19 DIS – Belanda akan melaksanakan perintah berkurung sepanjang tempoh Krismas untuk cuba menghentikan lonjakan varian Omicron, kata Perdana Menteri, Mark Rutte.

Beliau berkata semua kedai yang dikategorikan tidak penting, restoran, bar, pawa-gam, muzium dan teater ditutup bermula hari ini hingga 14 Januari, manakala sekolah ditutup sehingga sekurang-kurangnya 9 Januari ini.

Bilangan tetamu yang dibenarkan berkunjung ke rumah juga dikurangkan daripada empat orang kepada dua orang, kecuali pada Hari Krismas 25 Disember ini. “Saya berdiri di sini malam ini dalam suasana yang suram.

“Bagi meringkaskan dalam satu ayat, Belanda akan kembali berkurung mulai esok (hari ini),” kata Rutte pada sidang akhbar yang disiarkan di televisyen.

Beliau juga berkata pelaksanaan perintah itu tidak dapat dielakkan berikutan varian Omicron menular lebih cepat daripada yang kami jangkakan.

“Oleh sebab itu, kita perlu mengambil langkah pencegahan lebih awal,” katanya. Sementara itu, Ketua Pengurusan Wabak Belanda, Jaap van Dissel, memberitahu sidang akhbar bahawa Omicron akan mengatasi varian Delta sebelum ini untuk menjadi dominan di Belanda menjelang akhir tahun ini. – AFP

Perdana Menteri Belanda Mark Rutte mengadakan sidang media mengenai langkah koronavirus untuk menghentikan penularan varian Omicron di The Hague pada 18 Disember 2021. – AFP