Belanda lanjut sekatan hingga 9 Februari

THE HAGUE, 13 JAN – Belanda sedang melanjutkan sekatan koronavirus sehingga 9 Februari kerana jangkitan masih tinggi dan kerajaan ‘amat bimbang’ mengenai varian virus dari UK, kata Perdana Menteri Mark Rutte semalam.

Di bawah sekatan sekarang, yang dijangka luput pada 18 Januari, sekolah telah ditutup, semua kedai kecuali yang penting juga ditutup, dan rakyat dilarang daripada mempunyai lebih dua orang pelawat di rumah mereka.

“Saya tidak fikir saya akan mengejutkan anda pada petang ini, kami terpaksa memutuskan untuk melanjutkan sekatan selama tiga minggu lagi,” beritahu Rutte pada sidang media.

Rutte berkata keputusan itu merupakan ‘halangan besar’ dan akan menimbulkan kesukaran kepada ramai orang, terutamanya perniagaan yang terkesan semasa pandemik.

Namun beliau menambah: “Hampir semua orang akan memahami bahawa kami tidak mepunyai pilihan, disebabkan jumlah jangkitan tidak menurun dengan cukup pantas dan kami juga berdepan ancaman varian koronavirus Britain.”

Kerajaan juga menimbang mengenakan perintah berkurung pada waktu malam dan telah meminta pihak berkuasa kesihatan awam untuk nasihat mereka walaupun ia masih tidak berminat dengan idea tersebut, kata Rutte.

Sekolah rendah mungkin dibuka lebih awal, pada 25 Januari paling awal, namun kerajaan masih menimbang sama ada ia mungkin dilakukan, kata Rutte.

Pilihan raya umum Belanda yang dijangka diadakan pada 17 Mac nanti masih boleh diteruskan meskipun pelanjutan sekatan, kata Rutte. – AFP

Perdana Menteri Belanda Mark Rutte mengadakan sidang media di The Hague pada 12 Januari 2021 untuk menjelaskan langkah COVID-19 di Belanda. – AFP