Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Belanda sekat kemaraan Sweden

    SHEFFIELD, UNITED KINGDOM, 10 JULAI – Penyerang bintang Belanda, Vivianne Miedema kelmarin berkata pasukannya perlu berbangga dengan persembahan yang mereka pamerkan meskipun hanya sekadar meraih keputusan seri 1-1 menentang Sweden dalam perlawanan pertama kempen Euro Wanita 2022 mereka.

    Sweden cuba membalas dendam atas kekalahan separuh akhir Piala Dunia kepada Belanda tiga tahun lalu dengan mendahului perlawanan pada separuh masa melalui penyudah tenang dari Jonna Andersson.

    Tetapi Belanda kembali menyamakan kedudukan menerusi jaringan Jill Roord di hadapan seramai 21,342 orang penonton di Sheffield dalam perlawanan peringkat kumpulan yang tidak melibatkan negara tuan rumah pada Kejohanan Eropah Wanita itu.

    “Jika awda menyaksikan permainan kami pada 20 minit pertama, kami merasa bangga dan layak untuk meraih satu mata,” kata Miedema.

    “Hari ini benar-benar menunjukkan bahawa kami boleh mara ke hadapan dalam kejohanan ini,” tambahya.

    Perlawanan yang diuar-uarkan sebagai salah satu pertembungan terbesar peringkat kumpulan itu bermula dengan rentak permainan yang perlahan apabila Sweden mengawal ketat pergerakan dua orang penyerang Belanda, Miedema dan Lieke Mertens.

    Belanda juga terpaksa kehilangan penjaga gol utama dan kapten pasukan, Sari Van Veenendaal di awal permainan akibat kecederaan. Walau bagaimanapun, penjaga gol gantian, Daphne Van Domselaar mempamerkan aksi cemerlang meskipun hanya tampil buat kali kedua dalam penampilan antarabangsanya.

    Berada di tempat kedua di dunia, Sweden merupakan pasukan ranking tertinggi dalam kejohanan tersebut dan menunjukkan kualitinya dalam 45 minit pertama.

    Tekanan yang diberikan oleh Sweden sepanjang permainan akhirnya berjaya membuahkan hasil pada minit ke-35 apabila kelincahan Asllani mengatasi pertahanan Belanda lalu membuat hantaran lintang yang disambut baik oleh Andersson dan terus merembat masuk ke gawang Belanda.– AFP

    Aksi pemain Belanda, Jill Roord (kanan), bergelut mendapatkan bola semasa perlawanan bola sepak Kumpulan C Euro Wanita 2022 kelmarin. – AP
    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...