DOVER, AMERIKA SYARIKAT – Bermandikan cahaya bulan yang terang, sekumpulan saintis dan anggota sukarelawan memulakan perjalanan ke sebuah pantai dilindungi di Teluk Delaware untuk meninjau belangkas yang bertelur di sepanjang Pantai Timur AS dari akhir musim bunga hingga awal musim panas.
Kumpulan itu bergerak di sepanjang pinggir laut sambil memasang rangka penyukat di atas pasir, mengira setiap belangkas yang berada di dalamnya untuk membantu mewujudkan anggaran populasi, dan membetulkan kedudukan belangkas yang terlangkup akibat air pasang.
Dengan cangkerang berbentuk topi keledar, ekor yang menyerupai pancang dan lima pasang kaki yang bersambung ke mulut, belangkas, atau Limulidae, bukan sejenis haiwan yang disukai ramai.
Namun sekiranya awda pernah mengambil suntikan vaksin, awda perlu berterima kasih kepada haiwan laut pelik ini: darah biru haiwan ini, yang membeku dalam kehadiran komponen bakteria bergelar endotoxin, adalah amat penting untuk menguji keselamatan produk bioperubatan sejak 1970, apabila ia mengganti ujian arnab.
“Belangkas benar-benar disukai apabila awda memahami haiwan tersebut,” beritahu Laurel Sullivan, yang bekerja untuk kerajaan negeri bertujuan mendidik orang awam mengenai haiwan invertebrat, kepada AFP.
“Belangkas tidak bersifat mengancam. Haiwan itu hanya menjalankan kerja harian, berusaha menambah populasi belangkas.”
Selama 450 juta tahun, haiwan berkenaan telah menjelajah lautan dunia, sementara dinosaur bangkit dan seterusnya pupus, dan ikan pra-sejarah beralih kepada haiwan darat yang akhirnya akan mendorong kepada kebangkitan manusia.
Bagaimanapun, ‘fosil hidup’ tersebut kini telah disenaraikan sebagai mudah terdedah kepada ancaman di Amerika dan terancam di Asia, akibat kehilangan habitat dan penuaian berlebihan untuk digunakan dalam makanan, umpan serta industri farmaseutikal, yang sedang berkembang pesat, terutamanya berikutan pandemik COVID.
Merekrut saintis membantu melibatkan orang awam sementara juga menambah usaha pengumpulan data kerajaan, jelas ahli sains projek tinjauan Taylor Beck.
‘Ketam’ adalah nama yang tidak sesuai untuk haiwan itu, yang sebenarnya lebih rapat dikaitkan dengan labah-labah dan kala jengking, dan terdiri daripada empat subspesies: satu yang menghuni pantai Timur dan Teluk di Amerika Utara, dan tiga yang lain di Asia Tenggara.
Belangkas Atlantik mempunyai 10 mata dan makan dengan menghancurkan makanan, seperti cacing dan kima, di antara kakinya dan memasukkan makanan ke mulut.
Belangkas jantan mempunyai saiz yang lebih kecil daripada betina, yang bergerak dalam kumpulan 15 ekor apabila membiak. Belangkas jantan mencengkam belangkas betina ketika ia menuju ke pantai, di mana haiwan betina itu mengeluarkan kelompok 5,000 telur sebesar saiz bola golf untuk belangkas jantan menyembur sperma pada telur berkenaan.
Jutaan telur, bola kecil warna hijau, dihasilkan di atas permukaan pantai, di mana ia merupakan sumber makanan penting kepada burung, termasuk spesies Red Knot yang hampir pupus.
Nivette Perez-Perez, pengurus sains komuniti di Pusat Delaware untuk Inland Bay, berkata sejumlah besar telur berselerak di pantai di Pusat Pemuliharaan Ekologi Ladang James.
Ketika beliau bercakap, sekumpulan burung camar dengan paruh warna jingga melayap turun untuk memakan telur berkenaan.
Seperti saintis lain di kawasan itu, Perez-Perez sudah lama terpikat kepada spesies ketam tersebut.
“Ia amat menarik,” beritahunya kepada rakannya ketika beliau mengangkat seekor belangkas untuk menunjukkan ciri-ciri anatominya.
Pembiakan adalah usaha yang sukar dilakukan untuk belangkas kerana haiwan itu amat mudah terdedah kepada bahaya ketika berada di pantai: ketika air pasang, sesetengahnya berakhir dengan badan terbalik, dan sementara ekornya yang panjang boleh membantunya kembali kepada kedudukan asal, bukan semua yang bernasib baik.
Kira-kira 10 peratus daripada populasi belangkas hilang setiap tahun apabila bahagian bawah badan haiwan itu yang terdedah, terbakar di bawah cahaya terik matahari.
Pada 1998, Glenn Gauvry, pengasas Kumpulan Penyelidikan & Pembangunan Ekologi, membantu memulakan kempen ‘just flip ‘em’, menggalak orang awam supaya memainkan peranan mereka dengan menyelamatkan ketam terlangkup yang masih hidup.
“Perkara paling penting adalah perubahan sikap,” beritahunya kepada AFP di Pantai Pickering Teluk Delaware, dengan bangga menayangkan kep besbol slogan ‘Just flip ‘em’, yang dihiasi dengan pin belangkas.
“Jika kami gagal memujuk orang untuk memeduli haiwan berkenaan, maka mereka tidak mungkin menerima undang-undang yang digubal untuk melindunginya.”
Setiap tahun, kira-kira 500,000 belangkas telah dituai untuk mendapatkan bahan kimia bergelar Limulus Amebocyte Lysate, amat penting untuk digunakan dalam ujian menentang sejenis bakteria yang boleh mencemari ubat-ubatan, jarum dan peranti seperti pengganti pinggul.
Anggaran menetapkan kadar kematian proses berkenaan pada 15 peratus, dengan haiwan yang hidup dilepaskan semula ke laut.
Satu alternatif sintetik baharu bergelar recombinant factor C nampaknya mempunyai harapan lebih cerah akan tetapi berdepan cabaran undang-undang.
Belangkas adalah ‘sumber terhad dengan permintaan yang tidak terbatas, dan dua perkara berkenaan adalah amat eksklusif,’ beritahu Allen Burgenson, dari firma bioteknologi Swiss Lonza, yang menjalankan ujian baharu itu, kepada AFP. – AFP