Belanjawan 2019 akan susun semula kedudukan fiskal M’sia

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Belanjawan 2019 akan menyusun semula kedudukan fiskal Malaysia menerusi pelaksanaan pelbagai langkah sukar yang bertujuan untuk mengurangkan defisit fiskal, di samping menumpukan kepada keperluan untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Franklin Templeton GSC Asset Management Sdn Bhd, Hanifah Hashim berkata, kerajaan telah mengakui keperluan untuk menyeimbangkan dan jika dilaksanakan dengan baik, belanjawan itu dapat meningkatkan peluang pelaburan, merangsang sentimen perniagaan positif dan mendorong permintaan pengguna.

“Kami yakin bahawa Belanjawan 2019 adalah rejim jangka pendek yang diperlukan untuk meletakkan negara kembali ke landasan yang betul untuk menghadapi cabaran akan datang.

“Ketika Belanjawan 2019 memfokuskan semula ekonomi, kita mungkin melihat beberapa kesan negatif ke atas pasaran kewangan.

Bagaimanapun, kami yakin kerajaan berada di landasan yang betul dengan secara sistematik mengurangkan defisit fiskal dan bergerak ke arah pertumbuhan ekonomi yang mapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hanifah, yang juga Ketua Pendapatan Tetap dan Sukuk Malaysia Franklin Templeton, menegaskan bahawa sasaran defisit belanjawan yang lebih tinggi daripada yang dijangka diumumkan pada 3.7 peratus daripada keluaran dalam negara kasar untuk 2018, dijangka menimbulkan ketidakstabilan bagi pasaran dalam jangka pendek.

Beliau berkata, pelan pengukuhan fiskal pada 2019 pada 3.4 peratus, 2020 pada 3.0 peratus, 2021 pada 2.8 peratus dan tahun-tahun berikutnya sekitar 2.0 peratus boleh menyebabkan penilaian semula penarafan kredit Malaysia.

Hanifah berkata, beliau menjangka pasaran bon tempatan akan terjejas untuk baki 2018, berikutan penerbitan bon kerajaan yang lebih tinggi daripada jangkaan, sejajar dengan defisit fiskal yang lebih tinggi sebanyak 3.7 peratus.

Ketika Franklin Templeton menjangka hasil bon kerajaan meningkat dalam jangka pendek, rancangan untuk penyatuan fiskal pada 2019 akan menyaksikan terbitan bon kerajaan yang lebih rendah tahun depan dan seterusnya. – Bernama