LIMA, 8 Ogos – Peru akan mengutamakan hak wanita selain memerangi keganasan terhadap golongan itu menerusi Belanjawan 2019, kata Presiden Martin Vizcarra.
“Pentadbiran saya sangat komited dengan isu wanita dan yakin hak mereka akan menjadi satu keutamaan bagi peruntukan pada tahun depan,” katanya.
Beliau mengulangi bahawa keganasan terhadap wanita bukan sahaja melanggar hak asasi manusia, malah turut menjejaskan banyak pihak, lantaran itu Cawangan Eksekutif komited bekerjasama dengan rakyat untuk membanteras permasalahan tersebut daripada terus berlaku.
“Kita perlu hapuskan faham cauvinis dalam masyarakat, serta melindungi kanak-kanak, remaja, wanita, warga emas dan orang kurang upaya,” katanya.
Presiden turut memuji usaha dilakukan Pusat Kecemasan Wanita (CEM) yang dikendalikan oleh kerajaan negeri.
Pada masa ini terdapat 245 kemudahan yang turut dilengkapi pusat kesihatan dan tambahan sebanyak 221 akan dibina menjelang tahun 2021.
Selain itu, Presiden Peru turut akan menumpukan kepada usaha mengurangkan kanak-kanak yang menghidap anemia daripada 43 peratus kepada 19 peratus, selain memerangi jenayah rasuah. – Bernama