Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Belanjawan $5.7 bilion diluluskan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Majlis Mesyuarat Negara (MMN) hari ini sebulat suara meluluskan belanjawan 2022/2023 berjumlah $5.7 bilion yang akan berkuat kuasa pada 1 April selepas membahaskannya selama tujuh hari di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

    Belanjawan bagi Perkhidmatan Tahun Kewangan 2022/2023 telah dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah pada 26 Februari lalu menjelaskan bahawa ia berdasarkan kepada analisa dan penilaian.

    Ini seperti kemampuan kewangan kerajaan dan keutamaan perbelanjaan kerajaan sebagai asas dalam menyediakan Rang Belanjawan Negara Tahun Kewangan 2022/2023 dan termasuk prospek ekonomi global dan Negara Brunei Darussalam. Menurut beliau, pandemik COVID-19 telah mengubah lanskap sesebuah ekonomi, termasuk Negara Brunei Darussalam di mana kesannya telah menjejaskan aktiviti-aktiviti sosial dan perekonomian disebabkan sekatan pergerakan yang dilaksanakan sejak gelombang pertama dan kedua dalam usaha untuk membendung penularan wabak berkenaan.

    “Untuk menangani penularan wabak di negara ini, kerajaan telah mempertingkatkan lagi Program Vaksinasi Kebangsaan yang telah bermula pada 3 April 2021 dan negara juga telah mengisytiharkan tahap endemik pada 15 Disember 2021.

    “Dengan Fasa Endemik ini, orang ramai dapat menjalani semula aktiviti-aktiviti harian seperti biasa dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dan Garis Panduan Fasa Awal Endemik yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” jelasnya.

    Beliau turut menjelaskan, ekonomi dunia telah merudum pada 2020 akibat pelaksanaan the great lockdown sebagai langkah pembendungan penularan COVID-19, mencatatkan penurunan negatif 3.1 peratus, berikutan penutupan beberapa sektor ekonomi dalam usaha untuk membendung penularan wabak itu diikuti oleh peningkatan pengangguran yang membawa kesan negatif terutama kepada sektor-sektor penerbangan dan hospitaliti.

    Beliau juga mengongsikan kedudukan fiskal kerajaan bagi Tahun Kewangan 2020/2021 yang mana kutipan hasil pendapatan kerajaan adalah menurun sebanyak 57.7 peratus kepada $2.05 bilion berbanding tahun kewangan 2019/2020 ($4.85 bilion).

    Manakala itu, perbelanjaan sebenar kerajaan menurun sebanyak 9.9 peratus kepada $5.29 bilion berbanding tahun kewangan 2019/2020 ($5.87 bilion) di mana kerajaan telah merekodkan defisit berjumlah $3.24 bilion bagi tahun kewangan 2020/2021.

    Ini merupakan defisit yang tertinggi sejak negara mengalami defisit pada tahun kewangan 2014/2015 dan sebahagian besarnya disebabkan harga minyak dunia yang berada di paras yang rendah sehingga ada ketikanya berada pada kadar AS$20 setong dan secara purata adalah pada kadar AS$42 setong pada 2020.

    Dalam masa yang sama, jelasnya, pengeluaran minyak mentah dan LNG domestik juga menurun berikutan penangguhan dan kerja-kerja pemulihan yang tidak dirancang ke atas telaga-telaga minyak.

    Beliau seterusnya mengongsikan kedudukan fiskal kerajaan yang telah dikemas kini bagi tahun kewangan 2021/2022 di mana dengan kenaikan harga minyak dunia yang mencecah melebihi AS$90 setong, hasil pendapatan kerajaan bagi tahun kewangan 2021/2022 adalah dikemas kini kepada $4.15 billion berbanding $2.05 billion dalam tahun kewangan 2020/2021.

    Manakala itu, perbelanjaan kerajaan bagi tahun kewangan 2021/2022 adalah diunjurkan meningkat kepada $5.67 billion berbanding $5.29 bilion dalam tahun kewangan 2020/2021.

    Peningkatan ini sebahagian besarnya disebabkan komitmen perbelanjaan kerajaan dari Ogos 2021 berikutan gelombang kedua wabak COVID-19.

    Beliau seterusnya mengongsi, kerajaan setakat 24 Februari 2022 telah membelanjakan sejumlah $138.5 juta bagi membiayai perkara-perkara yang antaranya meningkatkan kapasiti ujian makmal SARSCoV-2 kepada 8,000 ujian sehari, di mana Brunei COVID-19 AirLab telah mula beroperasi sejak 19 Ogos 2021, selain pemberian elaun kepada barisan hadapan, pembelian vaksin termasuk melalui COVID-19 Global Vaccine Access Facility ataupun COVAX dan lainnya.

    Katanya lagi, berasaskan kepada anggaran kutipan hasil dan perbelanjaan yang dikongsikan itu, kerajaan dijangka akan merekodkan defisit belanjawan sebanyak $1.52 billion dalam tahun kewa-ngan 2021/2022 berbanding $3.24 bilion dalam tahun kewangan 2020/2021.

    Selain itu, Yang Berhormat Dato turut mengongsikan, anggaran hasil kerajaan bagi tahun kewangan 2022/2023 yang diunjurkan berjumlah $3.17 billion di mana $2.25 billion adalah daripada hasil sektor minyak dan gas manakala $923 juta adalah hasil daripada sektor bukan minyak dan gas.

    Manakala itu, $5.7 bilion adalah dicadangkan untuk membiayai perbelanjaan kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...