Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MAC – Majlis Mesyuarat Negara (MMN), kelmarin, sebulat suara meluluskan belanjawan 2020/2021 berjumlah $5.86 bilion yang akan berkuat kuasa pada 1 April selepas perbahasan selama tiga hari di mana keadaan penularan jangkitan wabak COVID-19 telah menyebabkan perbahasan dipercepatkan.
Peruntukan belanjawan bagi Tahun Perkhidmatan 2020/2021 telah diluluskan sebulat suara oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara semasa Persidangan MMN yang bersidang pada hari kelima di Bangunan Dewan Majlis, kelmarin.
Belanjawan berjumlah $5.86 bilion bagi Perkhidmatan Tahun Kewangan 2020/2021 telah dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah pada 11 Mac lalu di mana penyediaan peruntukan berkenaan kerajaan terus melaksanakan pembangunan sosioekonomi dan mempertingkatkan usaha-usaha untuk mewujudkan ekonomi yang lebih dinamik, mapan dan berdaya tahan demi kesejahteraan dan kemakmuran negara yang berterusan.
Terdahulu dalam mesyuarat berkenaan, Yang Di-Pertua Majlis, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib berkata bahawa susulan penularan jangkitan wabak COVID-19 yang telah diisytiharkan sebagai pandemik global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan atas nasihat Menteri Kesihatan yang juga bertindak menurut lunas-lunas undang-undang yang berkenaan, maka mesyuarat kali ini akan dipercepatkan dan berharap semua perkara akan dapat dilaksanakan.
“Saya minta kerjasama daripada semua ahli Yang Berhormat supaya kita dapat melaksanakan tugas kita untuk sekurang-kurangnya meluluskan Belanjawan Kerajaan bagi Tahun 2020/2021.
“Bagi mempercepatkan persidangan ini, satu kaedah akan digunakan iaitu kita akan menimbangkan tajuk-tajuk kementerian-kementerian satu per satu tetapi perbahasan atau sebarang pertanyaan akan ditiadakan.”
Jelasnya lagi, “Walau bagaimanapun, jika masa mengizinkan saya akan memberi peluang satu atau dua soalan pendek yang perlu dijawab oleh menteri yang berkenaan secara ringkas dan jika perlu sahaja.”
Yang Berhormat Pehin turut menyatakan, selepas membincangkan dan meluluskan tajuk-tajuk yang terdapat dalam Jadual Rang Undang-undang 2020 Perbekalan, 2020/2021, “Perkara ini adalah perkara darurat yang terpaksa kita lakukan dan bukanlah merupakan satu kebiasaan.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua ahli Yang Berhormat kerana telah memberikan kerjasama yang selayaknya dalam meluluskan rang undang-undang yang berkenaan ini sehingga selesai.”