Belanjawan lulus peringkat dasar

KUALA LUMPUR, 26 NOV – Selepas dua minggu dibahas dan melalui empat hari proses penggulungan oleh setiap kementerian, Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) Malaysia diluluskan di peringkat dasar hari ini.

Rang undang-undang itu diluluskan dengan suara majoriti selepas permohonan beberapa ahli parlimen untuk undi belah bahagian tidak berjaya apabila hanya 13 ahli Parlimen yang bangun, kurang daripada jumlah diperlukan iaitu 15 orang. Belanjawan pertama kerajaan Perikatan Nasional berkenaan dibentang Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 Nov dan seramai 82 ahli Parlimen terlibat dalam sesi perbahasan.

Peruntukan mencecah RM322.5 bilion dicadangkan di bawah belanjawan itu, iaitu jumlah terbesar dalam sejarah negara, bagi membantu kerajaan mendepani pandemik COVID-19 dan impaknya terhadap kehidupan rakyat dan ekonomi negara. Belanjawan 2021 itu memperuntukkan RM236.5 bilion (73.3 peratus) untuk perbelanjaan operasi, RM69 bilion atau 21.4 peratus perbelanjaan pembangunan dan RM17 bilion (5.3 peratus) kepada Kumpulan Wang COVID-19. – Bernama