Belanjawan Sarawak 2022 berjumlah RM10.136 bilion

KUCHING, 12 OKT – Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan belanjawan berjumlah RM10.136 bilion bagi 2022 berikutan kerajaan negeri akan memberi tumpuan membantu rakyat dalam situasi kesan daripada pandemik COVID-19.

Menurutnya Belanjawan Sarawak 2022 telah dirumuskan dengan berlatarbelakangkan prestasi ekonomi global dan domestik serta ramalan pertumbuhannya pada tahun depan.

“Dengan anggaran hasil RM10.036 bilion dan jangkaan perbelanjaan biasa sebanyak RM10.646 bilion, Belanjawan Negeri 2022 dijangka mengalami defisit RM610 juta.

“Penting pada masa ini dengan mengambil kira impak buruk pandemik COVID-19 kepada ekonomi negeri dan sumber pendapatan rakyat, kerajaan negeri harus memulakan dasar pengembangan fiskal untuk merangsang produktiviti dan menghidupkan semula ekonomi,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas mengenai Kenyataan Belanjawan Sarawak 2022 di sini hari ini.

Abang Johari berkata selaras de-ngan kuasa yang diberikan kepada Ketua Menteri Sarawak atau Pihak Berkuasa Kewangan Negeri mengikut Seksyen 11 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, beliau telah meluluskan Belanjawan Negeri Sarawak 2022 dengan persetujuan Majlis Kerajaan Negeri pada 11 Okt.

Sebelum ini Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar berkata keperluan untuk Belanjawan Negeri mendapatkan
kelulusan DUN Sarawak adalah tidak penting seperti dijelaskan dalam Seksyen 11 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi negeri berkata antara strategi teras dalam belanjawan ini ialah Skim Bantuan Deposit Perumahan sehingga RM10,000 untuk membantu golo-ngan B40 dan M40 membuat pembayaran deposit pemilikan rumah.

“Belanjawan Sarawak 2020 akan membantu rakyat menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 8.0 di mana sebanyak RM285.47 juta akan diperuntukkan antaranya potongan bil elektrik serta pemberian RM500 secara sekali beri kepada pengusaha bot penambang, pemandu teksi serta pemandu bas dan van sekolah,” katanya. – Bernama