PARIS, 25 MEI – Air France, Finnair dan Singapore Airlines menjadi syarikat penerbangan terbaharu yang menangguhkan penerbangan ke Belarus hari ini selepas Minks memaksa sebuah pesawat mendarat bagi menahan wartawan pro pembangkang.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas para pemimpin Kesatuan Eropah (EU) mendesak syarikat penerbangan yang berpangkalan di EU untuk mengelak laluan di ruang udara Belarus dan melarang syarikat penerbangan negara itu dari blok 27 negara.
Pemimpin Belarus, Alexander Lukashenko mencetuskan kemarahan antarabangsa dengan menghantar jet pejuang hari ini untuk memintas penerbangan Ryanair dari Athens ke Vilnius yang membawa wartawan yang dikehendaki, Roman Protasevich, 26, dan pasangannya Sofia Sapega.
Menurut Air France dalam satu kenyataan bahawa ia telah mengambil perhatian mengenai perkara ini semasa sidang kemuncak EU kelmarin dan telah menangguhkan penerbangan ke Belarus sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Pesawat yang kini dalam penerbangan akan mengubah haluan penerbangannya, kata syarikat Perancis itu.

Singapore Airlines juga mengubah haluan penerbangan yang menuju ke Eropah untuk mengelakkan ruang udara Belarus dan akan terus memantau situasi dengan teliti, kata seorang jurucakap.
“Keselamatan pelanggan dan kru adalah keutamaan kami,” kata jurucakap kepada AFP.
Finnair berkata penerbangan pesawat mereka yang terjejas dengan keputusan itu akan mengubah haluannya semula menuju ke bandar pesisir Turki, Gazipasa esok.
Syarikat penerbangan Scandinavia SAS; Lufthansa, Jerman; dan syarikat penerbangan serantau yang berpangkalan di Latvia, Air Baltic turut membuat pengumuman serupa kelmarin.
Britain juga mengeluarkan arahan bagi pesawat Britain untuk mengelakkan ruang udara Belarus sementara Ukraine memutuskan untuk menghentikan penerbangan terus antara kedua-dua negara ke atas Belarus. – AFP



































