Belgium belasah Scotland

GLASGOW, 10 SEPT – Belgium semakin hampir untuk mengesahkan tempat mereka di Kejohanan Eropah 2020 apabila membelasah Scotland 4-0 di Hampden awal pagi tadi.

Pasukan tuan rumah gagal mengekang Kevin De Bruyne apabila pemain tengah Manchester City itu memberikan umpanan gol kepada Romelu Lukaku, Thomas Vermaelen dan Toby Alderweireld dalam 32 minit pertama.

De Bruyne kemudian melengkapkan persembahan individunya dengan menjaringkan gol keempat ketika perlawanan berbaki lapan minit.

Harapan Scotland untuk layak kini secara realistiknya bergantung pada playoff, melalui Liga Negara-Negara, pada Mac dan kekalahan keempat dalam enam perlawanan Kumpulan I menyaksikan mereka jatuh ke tangga kelima, sembilan mata di belakang pasukan tempat kedua, Rusia.

Belgium pula meneruskan rekod 100 peratusnya dan menerajui kedudukan teratas kumpulan serta secara matematiknya sudah layak ke Euro 2020 jika menang di laman sendiri ke atas San Marino bulan depan.

Skuad Roberto Martinez akan menjadi pasukan pilihan untuk menjuarai kejohanan itu apabila generasi emas Belgium mengintai untuk memanfaatkan potensi besar mereka dengan menjulang piala.

Meskipun ujian lebih besar di hadapan, bekas bos Everton itu tidak mahu bersikap berpuas hati apabila menyenaraikan kesebelasan terkuatnya awal pagi tadi.

Jurang kelas jelas kelihatan, namun bos Scotland, Steve Clarke pastinya kecewa dengan pertahanan mudah dibolosi oleh pasukan di ranking nombor satu dunia itu. – AFP

Pemain Scotland cuba menghadang percubaan Kevin De Bruyne (tengah) dalam aksi kelayakan Euro 2020 di Glasgow. – AFP