Belgium bersedia bertarung

BRUSSELS, 19 NOV – Kapten Belgium, Eden Hazard berkata pemenang tempat ketiga Piala Dunia 2018 itu kini ‘lebih kuat’ berbanding setahun lalu dan mereka sudah pun memiliki ‘mentaliti juara.’

Skuad kendalian Roberto Martinez akan menanti kunjungan Cyprus bagi aksi terakhir kelayakan Euro 2020, awal pagi ini dan sudah pun layak ke pusingan akhir selepas mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan I.

“Kami mendapat dua tahun lagi pengalaman, dua tahun lagi bersama jurulatih,” kata bintang Real Madrid itu yang meledak dua gol ketika Belgium menewaskan Russia 4-1, Sabtu lalu. “Kami mengenali satu sama lain dengan lebih baik, kami mempunyai pemain-pemain yang muda… Saya fikir kami lebih kuat. “Persoalannya lebih terarah kepada sudut mentaliti yang mana saya fikir kami sudah melalui evolusi. Kami sudah mula memperoleh mentaliti juara yang kami kurang miliki ketika Euro 2016 dan Piala Dunia.” Belgium yang juga pasukan ranking nombor satu dunia dikejutkan oleh Wales di suku akhir Euro 2016 dan tewas kepada Perancis di separuh akhir Piala Dunia di Rusia tahun lalu. – AFP