Beli kripto dalam pelbagai mata wang pilihan

ISTANBUL, 1 JULAI – Pasaran mata wang kripto global pada masa ini bernilai hampir AS$265 bilion, dengan hampir AS$70 bilion dalam urus niaga dijalankan setiap hari.

Sementara itu, 314 tukaran mata wang kripto kini bero-perasi di seluruh dunia, menurut pengesan kripto Coinmarketcap. Walau bagaimanapun, di kebanyakan tukaran ini, mata wang kripto hanya boleh dibeli dengan menggunakan dolar Amerika atau euro.

Tetapi ini tidak berlaku dengan Narkasa, sebuah tukaran mata wang kripto yang berpusat di Istanbul yang membolehkan pelabur untuk membeli aset kripto dengan sejumlah mata wang yang berbeza.

Lebih-lebih lagi, perkhidmatan baharu itu menawarkan diskaun yuran 50 peratus untuk semua urus niaga yang dilakukan dalam tempoh 90 hari pelancarannya.

Dengan teknologi dan perkhidmatan canggih yang tersedia dalam 12 bahasa, Narkasa menyediakan kepada pelabur dengan sebuah platform untuk perdagangan mata wang kripto yang pantas dan selamat dalam pelbagai mata wang.

“Bersama dengan dolar dan euro, Narkasa menyokong urus niaga dalam ruble Rusia, hryvnias Ukraine, real Brazil, tenges Kazakhstan, dan lira Turki,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Narkasa Erdal Kaya.

“Dan kami merancang untuk memperluaskan operasi kami seterusnya bagi membolehkan perdagangan kripto dalam 156 mata wang negara yang berbeza (wang fiat),” kata beliau. “Tidak seperti kebanyakan tukaran lain, Narkasa akan membolehkan pelabur untuk membeli mata wang kripto dari mana-mana negara di mana mereka berada.”

Narkasa tidak mengenakan sebarang komisen terhadap pembelian mata wang kripto melalui platform mereka dan juga menjamin bahawa semua data peribadi pelanggan mereka adalah selamat dan terjamin.

Dinilai secara berkala oleh syarikat-syarikat pengauditan bebas, firma itu beroperasi selaras dengan undang-undang pembiayaan anti-pengubahan wang haram/anti-pengganas EU, dan pada masa yang sama turut mematuhi garis panduan ‘ketahui pelanggan anda’.

Lebih-lebih lagi, melalui penggunaan teknologi API, Narkasa menyediakan sebuah platform untuk perdagangan algoritma mata wang kripto. Ini membolehkan pelanggan untuk menguruskan pelaburan mereka dengan menggunakan kecerdasan buatan yang direka khusus untuk melindungi terhadap turun naik pasaran secara tiba-tiba. – Bernama