Friday, October 7, 2022
21.8 C
Brunei

Belia asah kemahiran kerja berpasukan

-

Oleh Daniel Lim

BELAIT – Perkhemahan yang bertujuan melahirkan belia yang mampu kerja berpasukan dan berfikiran kreatif dalam mengatasi sebarang cabaran telah melabuhkan tirainya kelmarin yang melihat pelbagai bengkel, permainan dan aktiviti yang bermanfaat dianjurkan.

“Aktiviti yang diadakan bukan sekadar hanya sebarang permainan yang menggalakkan peserta untuk bekerjasama dan berfikiran kreatif, malah juga disertakan dengan beberapa taklimat dan ceramah yang mendorong perbincangan bernas di kalangan belia,” jelas Timbalan Pengerusi dan Ketua Jabatan Belia dan Sukan Daerah Belait, Awang Mohd Shah Johan bin Haji Shari dalam ucapannya semasa majlis penutup Kem Belia Remaja yang disertai oleh 44 orang pelajar dan belia.

“Kami berharap kem selama tiga hari ini akan membuahkan hasil kepada peserta belia dalam mewujudkan persekitaran yang mesra dan kondusif untuk mereka meneruskan pertumbuhan dan pembangunan serta memupuk kemahiran dan bakat mereka agar menjadi lebih aktif, cergas, dan mampu mengatasi sebarang cabaran yang mereka akan hadapi,” tambahnya.

Perkhemahan tiga hari dan dua malam itu disertai oleh belia dan pelajar dari Sekolah Menengah Chung Hua Kuala Belait, Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Jefri Bolkiah (JBC) yang berlangsung sejak 6 September lalu di Bangunan Belia dan Sukan cawangan Daerah Belait, Jalan Maulana.

Awang Mohd Shah Johan menambah bahawa Kem Belia Remaja yang diadakan selama tiga hari dan dua malam itu bertujuan menyediakan peluang kepada peserta untuk memperoleh pengalaman bermakna, di samping mempelajari kemahiran baharu. Selain itu, peserta juga mampu menggunakan masa lapang pada waktu cuti persekolahan dengan menyertai kem tersebut.

Pada hari pertama kem berkenaan, telah diadakan aktiviti mendirikan khemah di hutan berdekatan di mana peserta akan tinggal untuk dua malam. Salah seorang peserta belia, Dayang Nurul Huda binti Zaida berkongsi pengalaman sepanjang aktiviti yang telah disertai dan keseronokan serta kenangan sepanjang menyertai Kem Belia Remaja.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan hari terakhir kem berkenaan dan menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta belia ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Suri Seri Begawan, Awang Abdul Mu’iz bin Haji Ibrahim. Sementara itu, penganjur Kem Belia Remaja turut menerima tanda penghargaan yang diwakili oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Daerah Belait. Abdul Mu’iz turut mengadakan lawatan ke tapak perkhemahan di mana beliau berinteraksi bersama peserta kem tersebut.

Jabatan Belia dan Sukan Daerah Belait dan Persatuan Bulan Sabit Merah berharap agar aktiviti perkhemahan yang serupa dapat dianjurkan pada masa akan datang, terutamanya semasa musim cuti persekolahan agar dapat menyediakan peluang kepada belia untuk mempelajari kemahiran baharu, di samping bertemu dengan belia yang mempunyai minat yang sama dari seluruh daerah.

Awang Abdul Mu’iz selaku tetamu kehormat menyampaikan sijil kepada peserta belia.
Peserta Kem Belia Remaja melakukan satu aktiviti yang dianjurkan pada hari pertama.
Tetamu kehormat semasa membuat tinjauan ke tapak perkhemahan pada penutup majlis.
Antara aktiviti perkhemahan yang diadakan pada hari pertama Kem Belia Remaja.
Sebahagian peserta Kem Belia Remaja selama tiga hari, pada majlis penutup perkhemahan.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Sydney siap sedia hadapi banjir besar

SYDNEY, 6 OKT – Bandar paling ramai penduduk di Australia, Sydney, mencatatkan rekod hujan tahunan selama 70 tahun hari ini selepas satu tahun memperingati...
- Advertisment -