Belia ASEAN diseru kerjasama tangani isu dunia

Oleh Sim Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah menyertai Program Pertukaran Diplomat Muda ASEAN ke-2 yang diadakan selama dua hari bermula kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Belia dan Sukan, di sini, hari ini, mewakili Negara Brunei Darussalam semasa program itu ialah Ketua Pegawai Operasi Sukarelawan Belia, Haji Rosfazilah bin Haji Yusly yang juga merupakan wakil Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Belia (SOMY) dan Ketua Sekretariat Belia, Pusat Operasi Sukarelawan Belia COVID-19, Awang Muhd Abdul Wafi bin Haji Sofian.

Program anjuran bersama Jawatankuasa Pusat Kesatuan Belia Komunis Ho Chi Minh (HCYU), Jawatankuasa Kebangsaan Belia Vietnam, Sekretariat ASEAN, dan Kementerian Buruh, Orang Kurang Upaya dan Hal Ehwal Sosial Vietnam itu telah dihadiri oleh perwakilan dari negara-negara anggota ASEAN secara bersemuka dan juga dalam talian.

Antara yang dibentangkan semasa program tersebut ialah kepentingan kerjasama dari negara-negara ASEAN dalam menangani isu global terutama sekali berkaitan dengan perubahan iklim, kemiskinan dan juga pandemik COVID-19.

Setiausaha Jawatankuasa Pusat HCYU dan Naib Pengerusi Tetap Jawatankuasa Kebangsaan Belia Vietnam, Nguyen Ngoc Luong semasa ucapan pembukaannya pada program tersebut telah menyatakan harapan agar semua lapisan umur terutamanya dalam kalangan belia supaya dapat bekerjasama dalam menangani isu yang dihadapi oleh dunia khususnya dan amnya di rantau ini.

Antara yang menghadiri Program Pertukaran Diplomat Muda ASEAN ke-2 yang diadakan secara maya. – Gambar serahan Jabatan Belia dan Sukan

Beliau turut menggalakkan para peserta program agar dapat mencadangkan penyelesaian dan inisiatif yang berkesan dan sesuai ke arah menangani pandemik COVID-19
dan seterusnya dapat membina komuniti ASEAN yang sejahtera.

Pada sesi pertama program itu, para perwakilan menyemak hasil kerjasama belia ASEAN pada 2021, keutamaan kerjasama belia dalam negara anggota ASEAN dan langkah-langkah untuk memerangi pandemik COVID-19 serta memastikan pekerjaan dan kese-lamatan sosial bagi golongan yang terjejas adalah terjamin.

Sesi seterusnya pula menumpukan kepada inisiatif tanggungjawab para doktor dalam memberikan tindak balas kepada COVID-19 dan aktiviti sukarelawan dalam konteks perkembangan bagi mena-ngani pandemik COVID-19 di Asia Pasifik.

Sementara itu, Awang Muhd Abdul Wafi semasa menyampaikan ucaptamanya turut berkongsi pengalaman beliau sebagai sukarelawan dalam menangani pandemik COVID-19.

Jelasnya, belia di Negara Brunei Darussalam telah mengambil inisiatif dan langkah untuk membuat perubahan yang positif dalam masyarakat, di mana mereka telah membuktikan pengertian sebenar seorang sukarelawan dengan berkhidmat sebagai sebuah pasukan di barisan hadapan.

Beliau turut menyarankan para belia agar sentiasa bersedia dalam memberikan khidmat kesukarelawanan dan bekerjasama demi negara bersama semua sektor dan agensi untuk memerangi pelbagai isu yang dihadapi terutama sekali ketika penularan pandemik COVID-19.

Semasa program tersebut, perwakilan negara-negara ASEAN lainnya turut berkongsi dan membincangkan cabaran yang dihadapi oleh belia ASEAN dalam mencari penyelesaian untuk menangani kesukaran pasca pandemik.