Wednesday, April 24, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Belia berdialog dengan angkasawan

    BEIJING, 4 NOV – Aktiviti “Dialog Tiangong: Soal Jawab bersama Kru Angkasawan Shenzhou-14 dengan Belia ASEAN” anjuran bersama Pusat China-ASEAN dan World Affairs Press membuka tirainya di Sekolah Royal Beijing baru-baru ini.

    Selain Beijing, aktiviti itu juga berlangsung serentak di Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam dengan penyertaan hampir 1,000 peserta terdiri wakil kerajaan pelbagai negara, wakil kedutaan negara-negara ASEAN di China, media dan belia dari China serta ASEAN.

    Penolong Menteri Luar China, Wu Jianghao dalam ucapan menerusi video berkata menerokai alam semesta yang penuh misteri merupakan impian semua umat manusia.

    “Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, China dan ASEAN telah menjalankan interaksi serta kerjasama rapat dalam bidang penggunaan teknologi angkasa lepas, satelit telekomunikasi dan pengukuran serta pemetaan angkasa.

    “Angkasa lepas menjadi sektor baharu kerjasama kedua-dua pihak,” kata beliau.

    Wu berharap golongan muda China dan ASEAN berusaha mempelajari ilmu sains demi masa depan dunia yang lebih cerah.

    Sementara itu Ketua Setiausaha Pusat China-ASEAN, Shi Zhongjun dalam ucapannya berkata kedua-dua pihak mengambil berat pada kerjasama sektor angkasa lepas.

    Beliau yakin semua pihak akan mendapat manfaat daripada penerokaan dan penggunaan angkasa lepas secara aman.

    “Saya berharap aktiviti seumpama ini akan membangkitkan semangat belia kedua-dua pihak dan meningkatkan keupayaan sendiri sehingga memberi sumbangan bagi pembangunan sains teknologi angkasa di China dan negara ASEAN pada masa hadapan,” kata Shi.

    Duta Indonesia ke China, Djauhari Oratmangun sebagai wakil kedutaan negara-negara ASEAN di China turut menyampaikan ucapan secara dalam talian.

    Beliau menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur kerana memberi peluang terbaik bagi remaja negara ASEAN untuk berinteraksi dengan angkasawan China.

    “Kami yakin kaum belia yang menyertai dialog itu akan mendapat suntikan semangat untuk menerokai angkasa dan mempelajari sains,” katanya.

    Djauhari berkata pertukaran sosiobudaya antara ASEAN dengan China juga akan dipergiatkan lagi melalui aktiviti seperti ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...