Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Belia bincangkan kemapanan alam sekitar

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Seramai 18 orang wakil belia daripada organisasi alam sekitar bukan kerajaan telah dijemput untuk membincangkan isu-isu mengenai pemuliharaan lautan dan kemapanan alam sekitar bersempena Hari Bumi di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Negara Brunei Darussalam, hari ini.

    Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Kedutaan AS di Negara Brunei Darussalam, di sini, turut menyertai acara itu bersama wakil-wakil belia berkenaan ialah Timbalan Duta AS, Emily Fleckner dan Pegawai Hal Ehwal Awam, Jeff Barus.

    Dalam kata alu-aluannya, Jeff Barus mengetengahkan komitmen kerajaan AS untuk bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi antarabangsa untuk menangani krisis iklim.

    Beliau menyatakan bahawa Persidangan Our Oceans yang dihoskan bersama oleh AS dan Palau pada 13 dan 14 April lalu adalah contoh kerjasama antarabangsa dalam menangani cabaran-cabaran seperti pemanasan lautan, kenaikan paras laut dan pengasidan lautan.

    Di samping itu, beliau mendedahkan bahawa Kedutaan AS akan menghoskan Sidang Kemuncak Tahunan Inisiatif Pemimpin Asia Tenggara Muda (YSEALI) pada Jun nanti di mana ia akan mengetengahkan lebih 100 orang pemimpin iklim muda dari Negara Brunei Darussalam dan serata Asia Tenggara yang akan berkumpul untuk membincangkan penyelesaian-penyelesaian penyejukan untuk planet yang semakin panas.

    Acara Hari Bumi merupakan peluang untuk mengumpulkan kumpulan yang telah mengendalikan inisiatif-inisiatif alam sekitar yang dibiayai kerajaan Amerika Syarikat supaya mereka dapat berkongsi perkembangan dan bertukar-tukar amalan terbaik.

    Pada acara itu, Shaima Misli dari Sustainable Ocean Alliance telah membentangkan mengenai AdvocaSEA Camp yang baru selesai di mana ia mendidik pemimpin belia mengenai isu-isu pemuliharaan marin.

    Reef Check Brunei yang diwakili oleh Frederick Chong juga menyampaikan maklumat mengenai inisiatif-inisiatif seperti Marine-O-debris yang dibiayai menerusi YSEALI AS pada 2019.

    Projek itu memperkasa penyelam-penyelam untuk membuang serpihan marin dari lautan dan untuk melaporkan data mengenai jenis, kuantiti dan lokasi bahan-bahan itu dikutip.

    Antara organisasi alam sekitar bukan kerajaan yang turut menyertai acara itu ialah Green Brunei. Selepas sesi pembentangan dan perbincangan, belia-belia berkenaan dibawa untuk melawat perkarangan kedutaan bagi tujuan mempelajari mengenai ciri-ciri kemapanan dan amalan kecekapan tenaga yang dilaksanakan.

    Menangani krisis iklim merupakan keutamaan dasar luar, diplomasi dan sekuriti negara AS.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...