Belia cemerlang mampu bina belia lain

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Julai – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) yakin bahawa belia-belia yang dicalonkan untuk menerima Anugerah Hari Belia Kebangsaan akan membantu kementerian itu membangun dan membina belia lain ke arah kemajuan pesat belia menerusi bidang-bidang kemahiran mereka.

Dalam hubungan itu, KKBS akan terus menerus mengiktiraf belia dan beliawanis yang berjasa dalam pembangunan belia dengan melihat cabang-cabang lain ke arah itu, kata Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama calon-calon penerima Anugerah Sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-12 yang berlangsung di Bilik VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, kelmarin, beliau berkata, Anugerah Hari Belia Kebangsaan adalah rekomendasi Dasar Belia Negara untuk memilih belia yang cemerlang.

Katanya, setiap tahun, sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan, negara akan memiliki belia yang berketerampilan untuk menjadi contoh (role model) kepada belia lain yang mempunyai aspirasi untuk menjadi ikon-ikon Negara.

Pada Sambutan Hari Belia Kebangsaan 2016, Yang Berhormat Pehin berkata, kementeriannya telah memperkenalkan dua kategori baharu iaitu Pemimpin Muda Belia dan Projek Cemerlang Untuk Belia.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menyampaikan sijil pencapaian kepada calon-calon penerima Anugerah Hari Belia Kebangsaan 2017.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menyampaikan sijil pencapaian kepada calon-calon penerima Anugerah Hari Belia Kebangsaan 2017.

Di antara yang hadir ke majlis itu.
Di antara yang hadir ke majlis itu.

“Anugerah kategori sekarang lengkap untuk mengeluarkan produk belia yang stand-out yang mempunyai daya saing atau pencapaian berorientasikan kualiti bertaraf tinggi,” ujar Yang Berhormat Pehin.

Terdahulu, Yang Berhormat Pehin berkata, pencalonan penerima anugerah pada 2017, rata-rata menunjukkan peningkatan 100 hingga 200 peratus iaitu bagi Belia Cemerlang ia telah meningkat dari lima pada 2016 kepada 11 pada 2017, bagi Belia Berkhidmat meningkat dari lapan pada 2016 kepada 17 pada 2017, bagi Pemimpin Belia Muda meningkat dari tiga calon pada 2016 kepada 11 calon pada 2017 dan bagi Projek Cemerlang Untuk Belia meningkat dari 13 pada 2016 kepada 25 pada 2017.

“Ini adalah petanda bahawa ramai pihak menerima baik Dasar Belia Negara yang digubal sebagai pegangan membina belia yang terurus dan terdidik untuk memakmurkan negara.

“Calon-calon anugerah mewarnai dunia belia dengan stok belia-belia yang terbaik dalam segenap lapangan,” jelas Yang Berhormat Pehin lagi.

Majlis Ramah Mesra itu dianjurkan oleh KKBS sebagai tanda penghargaan kepada calon-calon anugerah yang merupakan belia dan beliawanis yang mempunyai tanda aras sebagai layak menerima anugerah.

Di majlis itu, para calon penerima anugerah diberikan sijil pencapaian yang mengiktiraf pencalonan mereka sebagai calon-calon serta sebagai rakan belia yang membantu KKBS untuk membangun dan membina belia lain supaya sama-sama melakar pelan tindakan, strategi dan program untuk faedah belia.