Thursday, April 18, 2024
25.3 C
Brunei

    -

    Belia Gaza komited pulihara warisan Palestin

    GAZA – Perayaan yang memaparkan cerita rakyat Palestin diadakan di Gaza pada Selasa dan Rabu baru-baru ini bagi meraikan Hari Warisan Kebangsaan Palestin.

    Bentuk kesenian tradisional Palestin seperti tarian Dabkeh dan Dehia, lagu rakyat dan produk bersulam telah dipamerkan pada festival tersebut.

    “Kami melancarkan acara ini untuk mempromosikan konsep warisan negara dalam kalangan masyarakat Palestin melalui seni,” kata Mohammed Abu Shamala, salah seorang penganjur kepada Xinhua.

    “Warisan Palestin adalah yang mengekalkan identiti kami,” kata lelaki berusia 22 tahun itu, sambil menyatakan bahawa rakyat Palestin perlu menghidupkan semula perdagangan dan kraf tangan tradisional mereka dengan menggalakkan artis kreatif untuk meneroka dalam bidang ini dan menyokong projek sedemikian.

    Noha Abu Owaimer, seorang wanita muda berusia 29 tahun dari Gaza, datang ke acara itu untuk mempromosikan perkahwinan tradisional ala Palestin.

    Seorang wanita menyusun artifak pada perayaan untuk meraikan Hari Warisan Kebangsaan Palestin, di Bandar Gaza. – Xinhua
    Sekumpulan lelaki mempersembahan tarian tradisional Palestin semasa perayaan Hari Warisan Kebangsaan Palestin. – Xinhua

    Wanita muda itu berkata, dia mendapat idea untuk memulakan perniagaan perkahwinannya sendiri selepas memakai gaun pengantin sulaman tradisional di majlis perkahwinannya sendiri.

    “Pada masa itu, saudara-mara dan rakan-rakan saya terkejut kerana saya menukar gaun pengantin berwarna putih dan memakai pakaian tradisional nenek saya,” ingat wanita muda itu.

    Kemudian, kawan-kawannya datang kepadanya dan bertanya sama ada mereka boleh meminjam pakaiannya. Ketika itulah dia tercetus idea untuk menjadikan ini sebagai kerjayanya.

    “Semua negara berbangga dengan warisan mereka,” katanya.

    “Saya mahu menggalakkan orang lain untuk menganjurkan majlis perkahwinan mereka dengan cara tradisional Palestin.”

    “Warisan Palestin dibezakan bukan sahaja di kawasan tempatan tetapi juga di peringkat antarabangsa,” katanya sambil menambah bahawa dia mempunyai ramai pelanggan di Gaza.

    Begitu juga dengan Iman Abu Hatab, seorang penyelaras projek yang berpangkalan di Gaza yang dipanggil ‘Fanar’, yang memperkenalkan warisan Palestin kepada pelawat ke Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

    “Festival sebegini penting kerana ia menyebarkan kesedaran sejarah dan budaya serta mempromosikan pelancongan komuniti, menggalakkan rakyat memelihara warisan budaya masyarakat Palestin,” jelasnya.

    Abu Mohammed Ibrahim yang berusia 65 tahun membawa empat cucunya ke acara itu untuk membolehkan mereka mengetahui lebih lanjut tentang warisan mereka.

    “Pesta sebegini akan membantu generasi muda untuk tidak melupakan sejarah mereka dalam dunia yang pesat membangun ini,” katanya kepada Xinhua. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...