Belia Gaza lancar projek atasi pengangguran

GAZA – Shaaban Hamouda, seorang warga Palestin yang menjual kopi dari bandar Rafah di selatan semenanjung Gaza, telah menjadi salah seorang daripada kalangan mereka yang mencetuskan idea untuk menghantar minuman kepada pelanggan menggunakan basikal.

Sejak dia menamatkan pengajian di universiti pada tahun 2010, bapa kepada dua anak yang berusia 31 tahun itu bertungkus lumus mencari pekerjaan dan memutuskan untuk membuka sebuah kedai kecil yang menjual minuman panas.

Dengan memperoleh AS$15 dolar sehari, Hamouda dapat dapat memberi nafkah kepada keluarganya tetapi penularan pandemik COVID-19 mengurangkan separuh pendapatannya, apabila pelanggan mula berhenti membeli air kopinya.

Untuk mengatasi cabaran itu, Hamouda memutuskan untuk berfikir di luar kotak, menawarkan perkhidmatan penghantaran untuk memastikan keluarganya yang terdiri daripada lima ahli sentiasa terjaga.

“Situasi di Gaza agak rumit dan tidak ada pekerjaan, tetapi fikiran kita dapat mengatasi keadaan yang paling sulit,” kata Hamouda kepada media.

Shaaban Hamouda membuat kopi di pondok kecil di selatan semenanjung Gaza, 18 Jun lalu. – Xinhua
Para pekerja membawa dulang berisi beberapa cawan kopi yang dibuat oleh Shaaban Hamouda. – Xinhua

Bukan hanya dia dapat mempertahankan pendapatan yang baik, tetapi dia juga memberikan pekerjaan kepada tujuh orang temannya, yang berjuang untuk mencari pekerjaan setelah tamat pengajian.

Dua daripadanya menyediakan minuman panas sementara lima menerima pesanan melalui media sosial dan menghantarnya kepada pelanggan menggunakan basikal pantas dan murah untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Orang-orang sepertinya menginginkan hal-hal baharu sehingga kita harus memberikan apa yang baharu kepada mereka dan melanggar stereotaip konvensional untuk mendapatkan pelanggan,” kata Hamouda.

“Pada awal karier saya, saya biasa menghantar produk dengan berjalan kaki. Pada masa itu, saya mempunyai beberapa pelanggan. Sekarang semua orang mengenali saya,” jelasnya.

Kini memperoleh AS$20 dolar, Hamouda dan pekerjanya mengatakan bahawa mereka dapat mengekalkan cara hidup yang lebih baik.

Pengangguran di Gaza telah mencapai tahap tertinggi yang belum pernah terjadi sebelumnya setelah keputusan Israel melaksanakan sekatan penuh di kawasan pesisir pantainya.

Menurut anggaran, lebih daripada 80 peratus penduduk Gaza menganggur, yang kebanyakannya adalah golongan muda yang berpendidikan.

Sebuah jawatankuasa tempatan yang berpusat di Gaza yang menentang sekatan Israel telah memberi amaran pada bulan Januari bahawa sekatan Israel telah menyebabkan kemerosotan kemanusiaan yang teruk dalam semua aspek kehidupan di Semenanjung Gaza.

Selain itu, tercetusnya koronavirus dan akibatnya telah meningkatkan jumlah isi rumah yang menjadi miskin menjadi 53,000 keluarga, menurut Menteri Pembangunan Sosial Palestin, Ahmad Majdalani.

Ammar Abu Shamala, dari kota Rafah, adalah salah seorang yang kehilangan pekerjaan. Dengan mengambil pendirian sendiri dan tidak mahu menunggu kerajaan menghulurkan bantuan, bapa berusia 32 tahun itu menghabiskan sebahagian besar waktunya untuk melukis ratusan lukisan berwarna terang.

Setelah langkah berjaga-jaga dan pencegahan dikurangkan, pemuda itu mula mengembara ke pasar dan jalan-jalan tempatan untuk mencari pelanggan untuk lukisannya. Tidak sampai dua minggu, dia menjual kira-kira 300 lukisan yang menghasilkan sehingga AS$20 dolar setiap satu.

“Saya terkejut ketika ia terjual. Seperti orang-orang Gaza tidak sabar untuk memiliki karya seni walaupun mereka hidup dalam keadaan sukar,” katanya kepada media.

Walaupun begitu, Abu Shamala percaya rezeki sentiasa ada dalam perniagaan dan menyeru anak-anak muda untuk memulakan projek peribadi untuk mengatasi pengangguran yang menjejaskan Semenanjung Gaza. – Xinhua