Belia harapan, peneraju capai wawasan 2035

Oleh Yusrin Junaidi

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa memberikan perhatian melalui penyediaan berterusan program-program pembangunan kapasiti, kemudahan-kemudahan prasarana, infrastruktur dan bantuan fizikal serta fiskal dalam usaha membangunkan belia di negara ini.

Seperti yang diketahui, negara-negara global masih di bawah ancaman COVID-19 dan negara kita tidak terkecuali daripadanya.

Belia bersama menangani penularan wabak COVID-19

Walau bagaimanapun, penglibatan belia dalam membendung penularan wabak COVID-19 memainkan peranan yang sangat penting. Dan dengan penglibatan para belia selaku sukarelawan sangat aktif semasa penularan puncak wabak COVID-19 yang melanda negara tahun lalu sehingga kini.

Penglibatan para sukarelawan sangat ketara dalam sama-sama turun padang bagi membantu pihak kerajaan bagi menangani penularan wabak COVID-19 dan menghulurkan bantuan yang diperlukan.

Setakat ini jumlah belia yang berdaftar selaku Sukarelawan Belia bagi membantu penularan wabak COVID-19 berjumlah 1,548 orang. Mereka ini terdiri daripada belia daripada agensi kerajaan, pergerakan dan persatuan belia serta individu.

Penglibatan belia selaku sukarelawan terutama dari PKBN dan institusi akademik penting ketika negara menangani COVID-19 ketika puncaknya tahun lalu sehingga kini.
Penglibatan para sukarelawan sangat ketara dalam sama-sama turun padang membantu pihak kerajaan menghulurkan bantuan yang diperlukan.

Jawatankuasa Ad-Hoc Sukarelawan Belia juga ditubuhkan bagi mengumpulkan para sukarelawan yang berhasrat untuk membantu usaha menangani wabak ini, di samping menyelaras pembahagian sukarelawan bagi membantu Kementerian Kesihatan. Dalam masa yang sama juga membantu penyerahan Bantuan Kewangan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) melalui Kumpulan Wang Pentadbiran Am kepada peniaga dan pengusaha kecil yang terjejas pendapatan akibat penularan wabak COVID-19.

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sangat menghargai peranan belia daripada pelbagai kaum yang tampil membantu masyarakat sepanjang tempoh negara menangani wabak COVID-19 sehingga sekarang.

Langkah-langkah proaktif bagi membangunkan jati diri belia adalah perlu agar belia masa kini menjadi bakal peneraju yang boleh diharapkan oleh negara dan seterusnya menanai tanggungjawab bersama ke arah mencapai wawasan negara 2035.

Buku panduan belia

Para belia wajar diberikan panduan yang betul dan diberikan sokongan yang diperlukan untuk mencapai visi matlamat Dasar Belia Negara untuk melahirkan belia yang benar-benar berakhlak mulia, bertaraf dunia, menjadi ejen siaga perubahan masa depan dan berperanan dalam pembangunan negara secara inklusif.

Buku Dasar Belia Negara dan Strategi 2020-2035 (DBNS 2020-2035) ialah semakan semula dan pengemaskinian dari Dasar Belia Negara yang telah diterbitkan pada tahun 2002 dan merupakan sebuah living document yang telah dan akan terus disesuaikan dengan kehendak dan persekitaran semasa yang menuntut para belia negara bersiap siaga dalam merealisasikan matlamat negara khususnya dalam menjayakan Wawasan Brunei 2035.

Manakala Buku Garis Panduan Sukarelawan bertujuan untuk memberikan panduan yang lebih komprehensif kepada para sukarelawan dan agensi-agensi pelaksanaan di Negara Brunei Darussalam dan menerangkan hak serta keistimewaan para sukarelawan yang menyertai mana-mana aktiviti serta kerja sukarela. Ia juga bertujuan untuk menjadi rujukan kepada agensi-agensi pelaksanaan dalam menganjurkan aktiviti dan kerja sukarela di negara ini.

Belia cemerlang

Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-11 Tahun 2016 bertitah menekankan ramai dalam kalangan belia, walaupun dalam usia masih muda, telah mencapai kejayaan-kejayaan sangat bermakna dalam pelbagai bidang seperti bidang kedoktoran, guaman, kejuruteraan, keagamaan, keusahawanan dan lain-lain adalah satu tanda belia yang cepat berubah.

“Kejayaan-kejayaan yang diperoleh ini adalah alat untuk para belia berkecimpung mencorakkan masa depan negara. Belia seperti ini tidak syak lagi adalah belia yang berwawasan lagi cemerlang. Negara adalah sungguh-sungguh mengimpikan mereka. Tanpa mereka, negara akan kehilangan tonggak atau pasaknya,” titah Baginda.

Sebagai tanda penghargaan terhadap pergerakan belia di seluruh negara, Hari Belia Kebangsaan disambut pada setiap 1 Ogos. Sambutan seumpama itu mempunyai objektif ke arah memartabatkan pergerakan belia dan mengumpulkan belia-belia di seluruh negara dalam satu perhimpunan serta penglibatan mereka dalam aktiviti-aktiviti yang bermakna.

Belia merdeka

Negara Brunei Darussalam telah mencapai kemerdekaannya yang diisytiharkan pada 1 Januari 1984 bertempat di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan oleh Baginda Sultan.

Setelah 37 tahun mencapai kemerdekaan, banyak perubahan dan kemajuan yang membina telah dicatat bahkan sudah menampakkan beberapa kemajuan yang begitu signifikan seperti pembinaan tapak-tapak perindustrian, jambatan dan lebuh raya penghubung antara keempat-empat daerah.

Begitu juga dengan prasarana akademik seperti universiti-universiti, kolej, vokasional dan sekolah menengah dan rendah. Segala kemajuan, perkembangan dan kejayaan yang ada pada hari ini adalah hasil usaha yang direncanakan, diusahakan dan direalisasikan oleh warga-warga kemerdekaan.

Belia yang kreatif dan inovatif serta mempunyai asas hidup, mendidik golongan yang berkemampuan berfikir supaya berdikari dan mencari nafkah yang berbeza, adalah belia yang sangat diharapkan di negara ini.

Negara Brunei Darussalam perlu mengekalkan kestabilan politik, sosio budaya, integrasi dan ekonomi tanpa melupakan nilai-nilai sejarah dan jati diri sebagai bangsa Melayu yang setia kepada kepimpinan Ulil Amri, yang memelihara agama dan keharmonian masyarakat serta nilai-nilai akhlak dengan berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja sepertimana pengisytiharan Hari Kemerdekaan mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

Antara strategi mencapai wawasan 2035 adalah dengan memantapkan struktur pendidikan, ekonomi, pembangunan institusi, kemajuan perniagaan domestik, pembangunan infrastruktur, keselamatan sosial, persekitaran, kesihatan, keagamaan, hartanah, teknologi infrastruktur dan info komunikasi serta perancangan tenaga kerja yang mengutamakan rakyat dan warga tempatan.

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah memperkenalkan landasan terbaik untuk para belia seperti mewujudkan dan mengemas kini perkemba-ngan institusi akademik, seperti Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), sekolah vokasional, Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), sekolah kadet ketenteraan, Sekolah Sukan dan beberapa prasarana yang menjurus kepada pembinaan jati diri serta mempertingkat ilmu dan akhlak belia negara ini.

Menyingkap petikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa Sambutan Hari Belia Kebangsaan 2013 yang mana Baginda antara lain bertitah “Untuk mengetahui corak kepimpinan sesebuah negara, kita perlu melihat kepada generasi belia, kerana belialah bakal peneraju kepimpinan di masa akan datang. Merekalah perancang dan penggerak satu-satu pembangunan.

Makanya, inilah masanya di mana belia-belia negara perlu mempersiapkan diri mereka dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 untuk membolehkan mereka menjadi pelopor dan peneroka dalam pelbagai sektor. Umpamanya, memodenkan kaedah bercucuk tanam dan bertani dengan penggunaan gajet dan komputerisasi atau lebih canggih lagi menggunakan teknologi satelit dan sebagainya.

Bidang penanaman pohon-pohon buah yang mampu membuat penghasilan berlipat kali ganda dari biasa, seperti dalam usaha penanaman padi hibrid, buah-buahan berharga seperti durian, rock melon, pisang, sayuran hidroponik dan lain-lain lagi.

Dalam bidang penternakan pula, para belia boleh berkecimpung dengan menggunakan kaedah fertigasi, verticle hydroponic dan pelbagai kaedah pengairan, pembajaan dan penyemaian yang lebih jimat namun tetap produktif dan selamat untuk digunakan.

Dalam bidang perikanan, para belia boleh menumpukan perhatian kepada pengeluaran pembuatan seperti bebola ikan, produk masakan dalam tin, pengeksportan ikan dan udang hasil ternakan dalam sangkar dan sebagainya.

Manakala dalam bidang lain yang sudah semakin popular di masa kini pula adalah seperti bidang pembuatan produk-produk tekstil, pembungkusan, pelancongan, perkhidmatan, pembinaan dan seni bina.

Hanya tinggal 14 tahun saja lagi untuk kita merealisasikan gagasan wawasan negara 2035. Sebagai renungan agar kita mengambil berat terhadap segala kemaslahatan para belia, cuba kita renungi kata-kata hikmah berikut, “Jika anda merancang untuk kesenangan dalam setahun…tanamlah padi, jika anda merancang untuk kemewahan dalam 10 tahun, tanamlah pohon-pohon buah, namun jika anda merancang untuk kesejahteraan selama 100 tahun…tanamkanlah keimanan, ilmu dan akhlak kepada anak bangsa dan generasi belia kita, Insya Allah.”