Monday, October 3, 2022
24.6 C
Brunei

Belia inovatif cipta Prototaip Taman Terapung

-

Oleh Syahmi Hassan

Terwujudnya idea projek Prototaip Taman Terapung adalah untuk menangani keselamatan makanan khususnya bagi penduduk Kampong Ayer dalam penanaman sayur-sayuran sebagai sumber makanan.

Projek tersebut juga berfungsi untuk mendidik penduduk sekitar bahawa mereka diharapkan boleh bertanam dengan cekap menggunakan sistem taman terapung yang diusahakan. Prototaip itu menggunakan seni bina mampan seperti buluh dan tong plastik kitar semula dengan harapan dapat mendidik individu menggunakan semula bahan terpakai.

Demikian penjelasan Penyelaras Bersama Citizens Science Project, Dayang Hafizah Nor ketika ditemu ramah Media Permata semasa pelancaran Festival Eko pada 26 Jun lalu, di ibu negara.

Memandangkan projek itu pada mulanya berkaitan dengan disertasinya pada tahun 2020, Dayang Hafizah Nor berkata beliau sentiasa meminati penempatan dan seni bina terapung, dan selepas bertemu individu lain yang mempunyai minat yang sama mereka memilih untuk memulakan eksperimen mencipta dan membina sesuatu yang bermanfaat.

“Kami mengambil masa kira-kira beberapa minggu hingga dua bulan maksimum,” katanya mengenai tempoh masa yang diambil untuk mencipta prototaip itu.

Ahli Citizens Science Project ketika memberi penjelasan kepada menteri-menteri kabinet dan tetamu mengenai projek Prototaip Taman Terapung.
Kumpulan belia itu telah mengusahakan reka bentuk sistem pengairan dan pencahayaan sendiri pada Prototaip Taman Terapung berkenaan.
Prototaip Taman Terapung yang dipamerkan di Jeti Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bersempena dengan Festival Eko yang diadakan pada 26 Jun lalu.

Pada masa ini, terdapat antara enam hingga lapan orang dalam pasukan mereka yang bekerja untuk menambah baik taman terapung berkenaan dengan masing-masing memiliki latar belakang yang berbeza seperti tukang kayu, ahli biologi marin, arkitek, usahawan sosial dan sebagainya.

“Prototaip ini dibina oleh seorang tukang kayu di Kampung Bolkiah, dan ia merupakan idea kerja komuniti kerana semua orang berusaha ke arah kemampanan,” kata Dayang Hafizah Nor.

Tambahnya prototaip itu masih dalam bentuk asas dan memerlukan pembangunan lanjut. Setakat ini, mereka telah mengusahakan reka bentuk sistem pengairan dan pencahayaan sendiri.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai sistem pengairan sendiri, Dayang Hafizah Nor menjelaskan, air hujan akan ditakung kemudiannya akan melalui paip menuju ke dalam takungan air dan akan mengairi ke tumbuhan dari bawah menggunakan sistem wicking.

“Ia sama ada boleh disiram secara manual atau menggunakan sistem pengairan sendiri air hujan,” tambahnya. Pada malam sebelum pelancaran Festival Eko, Dayang Hafizah Nor berasa teruja dengan usaha komuniti yang diberikan oleh mereka yang tinggal di Kampong Ayer.

“Kami melihat ramai orang datang bersama-sama, dan ketika kami mendirikan projek, penduduk Kampong Ayer membantu kami mengikat taman terapung. Ia agak menakjubkan,” kongsinya.

Beliau berkata, bukan hanya mengenai output, tetapi juga proses bagaimana sesuatu itu dicapai dengan kerjasama semua orang dari komuniti.

Ketika ditanya sama ada pasukan mereka telah menemui sesiapa di Kampong Ayer untuk mencuba prototaip itu, Dayang Hafizah Nor berkata mereka masih belum berbuat demikian kerana prototaip itu baharu sahaja dibuat sejak beberapa minggu lalu.

Beliau seterusnya berkata, dalam jangka masa panjang, keseluruhan pasukan akan meletakkan Prototaip Taman Terapung di Pusat Komuniti Kampung Bolkiah B untuk tatapan semua orang, terutamanya kanak-kanak, kerana pasukan itu melihat lokasi itu sebagai medan ujian untuk pemikir kreatif datang dan mencuba, serta memikirkan bagaimana menjadikannya lebih cekap dan berkesan bagi digunakan.

“Kami melihat ini sebagai projek komuniti jangka panjang yang merentasi sempadan dalam aspek kerjasama seluruh ASEAN kerana ia mungkin boleh direplikasi bukan sahaja di Kampong Ayer, tetapi juga penempatan air lain di seluruh dunia,” harap penyelaras bersama projek itu.

Dayang Hafizah Nor berkata, memandangkan mereka baharu bermula beliau menyeru sesiapa sahaja untuk menghubungi mereka bagi melakukan sesuatu yang hebat mengenainya.

“Ini bermakna sesiapa daripada kalangan masyarakat yang bersemangat dan mempunyai kemahiran untuk membantu kami dalam projek ini adalah dialu-alukan. Ia tidak berkaitan dengan mana-mana syarikat tertentu kerana ia hanyalah sekumpulan individu yang bersemangat,” tambahnya.

Prototaip ketika itu ditaja oleh Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan ditempatkan di Jeti Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di ibu negara selama sehari suntuk pada Ahad lepas sebelum ditarik balik ke pusat komuniti itu.

“Jika orang ramai mahu melihatnya, mereka boleh pergi ke Pusat Komuniti Kampung Bolkiah B, dan kami ingin lebih ramai orang ke sana untuk menyaksikannya,” tambah Dayang Hafizah mengakhiri temu ramah.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea Utara lancar peluru berpandu balistik keempat

SEOUL, 2 OKT – Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu balistik kelmarin, menjadikan keseluruhan empat pelancaran minggu ini oleh negara bersenjata nuklear itu. Ujian itu...
- Advertisment -