Belia masjid prihatin petugas barisan hadapan

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Sebagai usaha berterusan untuk memberikan sokongan kepada petugas-petugas barisan hadapan dalam menangani penularan wabak COVID-19 di negara ini, seba-nyak 50 pek makanan telah disumbangkan oleh belia-belia masjid di bawah Program Belia Masjid Prihatin 2.0 kepada Pusat Pengasingan Batalion Ketiga Kem Lumut, baru-baru ini.

Program berkenaan merupakan inisiatif beberapa buah belia masjid yang aktif di negara ini antaranya Belia Masjid Ashabul Akhyar, Belia Masjid Ashabul Haliim, Belia Masjid Ash-Shaliheen, Kumpulan Belia ‘IbadurRahman, Kumpulan Syababul Iman, Belia Syababurroja dan Belia Masjid RPN Kampung Pandan.

Sumbangan dan usaha kerjasama sedemikian dihasratkan untuk menggalakkan masyarakat di negara ini untuk tampil membantu dalam perkara berkebajikan lebih-lebih lagi semasa berdepan dengan cabaran krisis kesihatan sebegini, iaitu antaranya dengan bersedekah.

Program Belia Masjid Prihatin 2.0 telah diadakan bermula 18 September lalu dan akan dilanjutkan sehingga 18 Oktober ini di mana orang ramai yang berhasrat untuk turut serta memberikan sumbangan dana atau ingin mengetahui lebih lanjut mengenai senarai barang sumbangan yang diperlukan, bolehlah melayari Instagram @beliamasjidprihatin_2.0.

Dalam pada itu, segala pembelian barang-barang menggunakan sumbangan dana yang diterima adalah sentiasa mengikut maklumat yang dikongsikan oleh pihak Kementerian Kesihatan.

Manakala itu, penyerahan barang-barang sumbangan pula diadakan setiap hujung minggu kepada barisan hadapan dan pesakit yang disahkan positif COVID-19.

Sebanyak 50 pek makanan telah disumbangkan oleh belia-belia masjid di bawah Program Belia Masjid Prihatin 2.0 kepada Pusat Pengasingan Batalion Ketiga Kem Lumut, baru-baru ini.