Belia masjid sertai ‘World Quran Hour’

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 6 MEI – Dalam usaha memupuk kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan belia, Kelab Belia Masjid Zainab, Lumut mengadakan Tilawah Al-Quran sempena World Quran Hour di masjid tersebut hari ini.

Lebih 20 orang belia mengambil bahagian dalam acara yang bukan sahaja menggalakkan belia menyertai acara keagamaan di masjid dan surau kawasan masing-masing, malah membantu mereka memahami lebih mendalam mengenai pengajaran daripada surah-surah dalam Al-Quran.

World Quran Hour merupakan inisiatif yang pertama kali dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) sebagai satu platform bagi umat Islam belajar Al-Quran.

Sehubungan itu, melalui acara tersebut, Kelab Belia Masjid Zainab berharap para belia akan meluangkan masa terutamanya pada bulan Ramadan ini untuk mempertingkatkan pengetahuan ajaran Islam melalui pembacaan Al-Quran.

Antara sebahagian daripada belia yang hadir pada acara tersebut.