Sunday, April 20, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Belia mualaf proaktif dalami keindahan Islam

    Oleh Nurdiyanah R.

    Gambar serahan Belia Mualaf As-Syahadah

    Ikatan persaudaraan sesama Muslim umpama tiang yang mendukung sesebuah bangunan atau rumah, yang tanpanya pasti akan roboh.

    Begitu jugalah silaturahim antara sesama Muslim, perlu terus dipelihara agar perpaduan umat Islam sentiasa bersatu padu dan kukuh.

    Sesungguhnya Islam adalah agama yang sempurna. Ia bukan sahaja menyuruh umatnya untuk beribadah seperti sembahyang, puasa dan menunaikan haji.

    Malahan Islam juga menyuruh umatnya untuk menjaga kesejahteraan hidup, bekerjasama dan bantu-membantu antara satu sama lain.

    Oleh itu, bagi mencapai tujuan tersebut, Islam mengajar umatnya untuk menjaga hubungan silaturahim sesama manusia demi meraih rahmat Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat, ayat 10 sebagaimana tafsirnya:

    “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah antara dua saudara kamu yang bertelingkah itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

    Dengan hasrat untuk menjadi wadah bagi para belia mualaf tampil ke hadapan, bergaul sesama mereka di samping membantu para belia mualaf dalam pengukuhan akidah, pemantapan akhlak, meningkatkan ilmu dan kefahaman serta penghayatan Islam, salah sebuah kelab belia tempatan, Belia Mualaf as-Syahadah di bawah naungan Pusat Dakwah Islamiah (PDI) semakin giat mengorak langkah proaktif dan progresif dalam mencapai matlamat berkenaan.
    Memberi bimbingan, sokongan serta pemahaman yang mendalam kepada ajaran agama Islam seperti cara-cara berwudhu, bertayammum serta menunaikan sembahyang, itulah antara yang ditekankan dalam kelab ini yang bukan sahaja kepada golongan mualaf mahu pun bukan beragama Islam.
    Lawatan masjid dan Iftar Mahabbah merupakan antara aktiviti yang diadakan secara tahunan yang dibukakan bukan sahaja kepada para mualaf bahkan semua lapisan masyarakat di negara ini.

    Peranan Belia Mualaf as-Syahadah

    Sehubungan dengan itu, dengan hasrat untuk menjadi wadah bagi para belia mualaf tampil ke hadapan, bergaul sesama mereka di samping membantu para belia mualaf dalam pengukuhan akidah, pemantapan akhlak, meningkatkan ilmu dan kefahaman serta penghayatan Islam, salah sebuah kelab belia tempatan, Belia Mualaf as-Syahadah yang pada mulanya dikenali dengan nama Kelab Belia Mualaf ditubuhkan secara rasminya pada 30 November 2017 di bawah naungan Pusat Dakwah Islamiah (PDI) semakin giat mengorak langkah proaktif dan progresif dalam mencapai matlamat berkenaan.

    Menurut timbalan presiden kelab berkenaan, Dayang Nur Fadilah Fakhriah binti Haji Yunos menjelaskan bahawa adapun penubuhan kelab ini sememangnya bertujuan untuk membimbing dan memberi sokongan kepada golongan mualaf dan ahli keluarga mereka dalam semua aspek seperti ekonomi, kesihatan dan lain-lain, di samping membantu untuk mewujudkan kesedaran, kefahaman dan penghayatan yang mendalam kepada ajaran agama Islam demi untuk menghilangkan segala keraguan pada diri dan jiwa mereka meliputi kalangan mualaf mahu pun bukan Mualaf.

    “Dengan adanya kelab ini, ia juga bertujuan untuk memberikan sokongan moral kepada para mualaf khususnya mereka yang berdepan dengan cabaran dari segi percanggahan penerimaan agama dalam kalangan ahli keluarga mereka dan juga mereka yang masih memiliki keraguan terhadap pegangan agama suci,” tambahnya lagi.

    Jelas Dayang Nur Fadilah, sepanjang penubuhannya, kelab tersebut telah dikendalikan oleh 30 ahli jawatankuasa dalam menganjurkan pelbagai aktiviti dan program-program selama ini.

    Menariknya, kira-kira 150 orang belia yang bukan hanya terdiri dari golongan mualaf dan juga para sukarelawan dari pelbagai bidang dari golongan masyarakat Islam tulen dan juga segelintir golongan yang belum Islam turut sama menjayakan aktiviti-aktiviti yang diketengahkan di tanah air ini.

    Program Pemantapan Belia Mualaf

    Salah satu program belia mualaf yang julung kalinya diadakan di negara ini ialah Program Pemantapan Belia Mualaf (PPBM) pada tahun 2017 yang mana seramai 31 orang peserta mualaf, yang terdiri daripada 16 peserta lelaki dan 15 peserta perempuan telah menyertai program perkhemahan berkenaan.

    Pelbagai acara telah diselitkan dalam program berkenaan antaranya kuliah-kuliah yang disampaikan oleh pegawai-pegawai PDI sendiri dan juga aktiviti-aktiviti berkumpulan yang telah disusun mengikut tema program iaitu From Syahadah to Happiness.

    Tema berkenaan dipilih bagi menghidupkan semula perasaan manis yang dirasai ketika para peserta mualaf memulakan langkah menetapkan keyakinan dan kepercayaan hati untuk memeluk akidah Islam yang telah dipilih dan juga bagi menghidupkan rasa syukur ke hadrat Ilahi atas hidayah yang singgah sebagai anugerah tertinggi pada diri mereka.

    Antara lain objektif program adalah bagi mengumpulkan belia-belia mualaf untuk mengenal pasti individu-individu yang berpotensi untuk diangkat menjadi penggerak dan ahli bagi Jawatankuasa Kerja Kumpulan As-Syahahah pada masa yang akan datang.

    Selain itu, ia juga berfungsi memotivasikan para belia mualaf supaya sentiasa proaktif untuk mempelajari dan mengamalkan ajaran Islam yang syumul dan menyeluruh, merapatkan ukhuwah dalam kalangan para belia mualaf agar dapat menjadi support system dalam mengharungi kehidupan sehari-hari sebagai seorang Islam dan bagi melahirkan belia mualaf contoh yang berjaya kepada yang lain, bukan sahaja dari sisi agama bahkan ekonomi dan segala aspek kehidupan keseluruhannya.

    Aktiviti-Aktiviti Tahunan

    Dalam pada itu, antara aktiviti tahunan yang diungkayahkan oleh kelab ini lebih berkonsepkan aktiviti kutipan amal sambil beriadah seperti kejohanan badminton, program Belia Mualaf Prihatin, iftar mahabbah semasa menjelangnya bulan Ramadan, dan Sambutan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri.

    Baru-baru ini, kelab ini dengan kerjasama Urus Setia Program Keagamaan Belia, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Belia Mualaf As-Syahdah telah mengadakan Program Lawatan Masjid 1442H di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien. Antara tujuan program adalah untuk mempertajam dakwah serta menzahirkan corak kehidupan Islam di Negara Brunei Darussalam terutama kepada golongan masyarakat bukan Muslim di samping memberi peluang melihat masjid secara dekat dan mengenali ibadah-ibadah yang dilakukan oleh orang Islam.

    Adapun pengisian program berkenaan, antaranya kelas-kelas khusus yang berkaitan dengan Islam iaitu penulisan Jawi zaman keemasan Islam, bercerita bagi kanak-kanak, seni bina Islam, cerita-cerita daripada Al-Quran dan Our Stories yang menyentuh mengenai perkongsian pengalaman masuk Islam daripada Belia Mualaf As-Syahadah yang disampaikan dalam Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan.

    Program juga diselitkan dengan persembahan tausyeh dan senaman taici bersama komuniti Cina.

    Program yang merupakan aktiviti tahunan Belia Mualaf As-Syahadah dan akan diadakan dua kali dalam setahun itu disertai oleh lebih kurang 100 orang terdiri daripada jemputan, persatuan-persatuan Tionghua, keluarga mualaf yang bukan Muslim dan juga dibukakan kepada orang awam.

    Oleh yang demikian, dengan adanya pelbagai aktiviti yang diketengahkan oleh kelab ini , adalah menjadi harapan mereka untuk menjadikannya sebagai salah satu platform sebagai batu loncatan dalam menyemarakkan semangat belia mualaf untuk lebih proaktif belajar, memahami dan mempraktikkan ajaran Islam secara menyeluruh.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda