Belia Negara pendukung Wawasan 2035

Oleh Yusrin Junaidi

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa memberikan perhatian melalui penyediaan berterusan program-program pembangunan kapasiti, kemudahan-kemudahan prasarana, infrastruktur dan bantuan fizikal serta fiskal dalam usaha membangunkan belia di negara ini.

Seperti yang sedia maklum, belia merupakan aset negara.

Oleh itu, langkah-langkah proaktif bagi membangunkan jati diri belia kita adalah perlu agar belia masa kini menjadi bakal peneraju yang boleh diharapkan oleh negara dan seterusnya menanai tanggungjawab bersama ke arah mencapai wawasan negara 2035.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah bahawa ramai dalam kalangan belia, walaupun dalam usia masih muda, telah mencapai kejayaan-kejayaan sangat bermakna dalam pelbagai bidang seperti bidang kedoktoran, guaman, kejuruteraan, keagamaan, keusahawanan dan lain-lain adalah satu tanda belia yang cepat berubah.

“Kejayaan-kejayaan yang diperoleh ini adalah alat untuk para belia berkecimpung mencorakkan masa depan negara. Belia seperti ini tidak syak lagi adalah belia yang berwawasan lagi cemerlang.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik semasa berkenan beramah mesra bersama belia yang mahir dalam bidang seni lukis sempena Riadah Berbasikal Keputeraan 2019. – Gambar fail Infofoto
Anggota PKBN semasa dibawa melawat ke Daerah Belait. Penubuhan PKBN adalah untuk pembinaan jati diri golongan muda serta mempertingkatkan ilmu dan akhlak belia. – Gambar fail oleh Daniel Lim
Para belia menunjukkan kemahiran dalam mengukir hiasan pada buah-buahan.
Para belia dilibatkan dalam projek pertanian LiveWIRE AgroBiz. – Gambar fail Sim Y. H

Negara adalah sungguh-sungguh mengimpikan mereka. Tanpa mereka, negara akan kehilangan tonggak atau pasaknya,” titah Baginda.

Sebagai satu tanda pengiktirafan dan penghargaan terhadap pergerakan belia di seluruh negara, mereka juga diraikan pada Hari Belia Kebangsaan yang disambut pada setiap 1 Ogos.

Sambutan seumpama itu mempunyai objektif ke arah memartabatkan pergerakan belia dan mengumpulkan belia-belia di seluruh negara dalam satu perhimpunan serta penglibatan mereka dalam aktiviti-aktiviti yang bermakna.

Negara Brunei Darussalam telah mencapai kemerdekaannya yang diisytiharkan pada 1 Januari 1984 bertempat di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Setelah 35 tahun mencapai kemerdekaan, banyak perubahan dan kemajuan yang membina telah dicatat bahkan sudah menampakkan beberapa kemajuan yang begitu signifikan seperti pembinaan tapak-tapak perindustrian, jambatan dan lebuh raya penghubung antara keempat-empat daerah.

Begitu juga dengan prasarana akademik seperti universiti-universiti, kolej, vokasional dan sekolah-sekolah menengah dan rendah.

Segala kemajuan, perkembangan dan kejayaan yang ada pada hari ini adalah hasil usaha yang direncanakan, diusahakan dan direalisasikan oleh warga-warga kemerdekaan.

Belia yang kreatif dan inovatif serta mempunyai asas hidup, mendidik golongan yang berkemampuan berfikir supaya berdikari dan mencari nafkah yang berbeza, di samping hidup berdikari adalah belia yang sangat diharapkan di negara ini.

Negara Brunei Darussalam perlu mengekalkan kestabilan politik, sosio budaya, integrasi dan ekonomi tanpa melupakan nilai-nilai sejarah dan jati diri sebagai bangsa Melayu yang setia kepada kepimpinan Ulil Amri, yang memelihara agama dan keharmonian masyarakat serta nilai-nilai akhlak dengan berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja sepertimana pengisytiharan Hari Kemerdekaan mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

Antara strategi untuk mencapai Wawasan Brunei 2035 adalah dengan memantapkan struktur pendidikan, ekonomi, pembangunan institusi, kemajuan perniagaan domestik, pembangunan infrastruktur, keselamatan sosial, persekitaran, kesihatan, keagamaan, hartanah, teknologi infrastruktur dan info komunikasi serta perancangan tenaga kerja yang mengutamakan rakyat dan warga tempatan.

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah memperkenalkan landasan terbaik untuk para belia seperti mewujudkan dan mengemas kini perkembangan institusi akademik, seperti Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), sekolah vokasional, Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), sekolah kadet ketenteraan, Sekolah Sukan dan beberapa prasarana yang menjurus kepada pembinaan jati diri serta mempertingkat ilmu dan akhlak belia negara ini.

Menyingkap petikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa Sambutan Hari Belia Kebangsaan 2013 yang mana Baginda antara lain bertitah “Untuk mengetahui corak kepimpinan sesebuah negara, kita perlu melihat kepada generasi belia, kerana belialah bakal peneraju kepimpinan di masa akan datang. Merekalah perancang dan penggerak satu-satu pembangunan.

Makanya, inilah masanya di mana belia-belia negara perlu mempersiapkan diri mereka dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 untuk membolehkan mereka menjadi pelopor dan peneroka dalam pelbagai sektor.

Umpamanya, memodenkan kaedah bercucuk tanam dan bertani dengan penggunaan gajet dan komputerisasi atau lebih canggih lagi menggunakan teknologi satelit dan sebagainya.

Bidang penanaman pohon-pohon buah yang mampu membuat penghasilan berlipat kali ganda dari biasa, seperti dalam usaha penanaman padi hibrid, buah-buahan berharga seperti durian, rock melon, pisang, sayuran hidroponik dan lain-lain lagi.

Dalam bidang penternakan pula, para belia boleh berkecimpung dengan menggunakan kaedah fertigasi, verticle hydroponic dan pelbagai kaedah pengairan, pembajaan dan penyemaian yang lebih jimat namun tetap produktif dan selamat untuk digunakan.

Dalam bidang perikanan, para belia boleh menumpukan perhatian kepada pengeluaran pembuatan seperti bebola ikan, produk masakan dalam tin, pengeksportan ikan dan udang hasil ternakan dalam sangkar dan sebagainya.

Manakala dalam bidang lain yang sudah semakin popular di masa kini pula adalah seperti bidang pembuatan produk-produk tekstil, pembungkusan, pelancongan, perkhidmatan, pembinaan dan seni bina.

Hanya tinggal 15 tahun saja lagi untuk kita merealisasikan gagasan wawasan negara 2035.

Sebagai renungan agar kita mengambil berat terhadap segala kemaslahatan para belia, cuba kita renungi kata-kata hikmah berikut, “Jika awda merancang untuk kesenangan dalam setahun…tanamlah padi, Jika awda merancang untuk kemewahan dalam 10 tahun, tanamlah pohon-pohon buah, Namun jika awda merancang untuk kesejahteraan selama seratus tahun…tanamkanlah keimanan, ilmu dan akhlak kepada anak bangsa dan generasi belia kita, Insya-Allah.